Kerajaan perlu serius tangani keganasan rumah tangga tegas MP Batu Kawan

Terima kasih Tuan Speaker diatas peluang Batu Kawan untuk membahas satu Rang Undang-undang yang amat penting yang akan membawa perubahan yang signifikan kepada perlindungan yang diberikan oleh badan kerajaan kepada mangsa-mangsa keganasan rumahtangga.

Namun, saya terkilan setelah mendapati pindaan kepada rang undang-undang Akta Keganasan Rumahtangga yang sepatutnya dibahaskan dalam sidang yang lepas telah ditangguh ke sidang ini untuk memberi laluan kepada satu Rang Undang-undang yang telah diperuntukkan satu hari penuh untuk dibahas.

Apa-apapun, usaha untuk memastikan bahawa rang undang-undang ini terus tercicir atau memberi laluan sekali lagi kepada RUU yang lain patut diberi pujian, terutama sekali apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sendiri yang memberi komitmen agar ianya akan dibentangkan dalam sidang ini. Syabas kepada pasukan pejabat Datuk Seri Rohani, NGO serta semua agensi yang terlibat dalam memastikan RUU ini disiapkan dan dibentangkan dalam sidang ini.

Tuan Speaker,

Sebelum saya mulakan perbahasan ini, ingin saya kemukakan rasa kesal saya di Dewan yang Mulia ini kerana Ahli Parlimen dari sebelah sini tidak diberikan sebarang taklimat mengenai RUU ini untuk apa-apa penjelasan atau pindaan lanjut terhadap RUU ini yang akan memberikan fokus dan perspektif menyeluruh dalam pencegahan keganasan rumah tangga serta hukuman terhadap penjenayah sebelum dibentangkan. Jadi ingin saya cadangkan satu SOP disini agar satu taklimat diuruskan oleh mana-mana kementerian sebelum mana-mana rang undang-undang dibentangkan, terutamanya pindaan kepada Rang Undang-undang Akta Keganasan Rumahtangga yang merupakan satu isu yang amat penting dan memerlukan campurtangan dan penglibatan oleh semua Ahli Parlimen serta semua agensi kerajaan yang terbabit, termasuklah NGO seperti JAG, WAO, WCC, PPW dan juga PWDC.

Secara keseluruhan, pindaan ini adalah satu pindaan positif yang akan memberikan perlindungan kepada mangsa keganasan rumahtangga di Malaysia yang semakin meningkat tahun demi tahun. Dalam jawapan Parlimen sesi lepas, PDRM telah menyatakan sejumlah 62,670 kes keganasan rumahtangga dilaporkan dari tahun 2000 sehingga Januari 2017 dengan anggaran purata lebih 3800 kes setahun, iaitu 323 kes sebulan dan anggaran 10 kes sehari bagi kes keganasan terhadap isteri atau suami. Dan lebih membimbangkan lagi, WHO menetapkan bagi setiap kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan, 5 lagi tidak dilaporkan. Maka, kita sedang berdepan dengan satu senario dimana lebih 313,350 mangsa keganasan sedang seksa memikul beban menjadi mangsa keganasan dalam tempoh 17 tahun ini.

Tuan Speaker,

Adalah penting juga untuk direkodkan insiden keganasan rumahtangga mengikut kaum atau etnik di Malaysia untuk tujuan kajian dan penyelidikan agar pendekatan spesifik, atau tailor made dapat digunakan untuk menangani gejala keganasan rumahtangga ini.

Dari tahun 2000 sehingga Januari tahun ini seramai 33,301 kes telah dilaporkan dari pecahan kaum Melayu, 14,164 dari kaum India, 8942 Cina dan 6263 lain-lain.

Adakah bilangan ini berkadar terus dengan sifat misoginistik dan budaya patriarki dimana wanita dianggap satu objek atau harta yang akan dimiliki oleh kaum lelaki seperti henfon, motosikal atau rumah? Pemangsa menggunakan kekerasan keatas isteri mereka kerana menganggap isteri mereka ini bertaraf kelas kedua atau second class.

Malaysia merupakan negara pertama dalam rantau Asia Pasifik dan telah mengukir sejarah dalam membentangkan dan meluluskan Akta Keganasan Rumahtangga 1994 yang dikuatkuasa pada tahun 1996.

Namun masalah besar yang dihadapi oleh mangsa adalah penyebaran maklumat oleh agensi kerajaan berhubung proses memperoleh keadilan bagi mangsa keganasan rumahtangga ini.

Tuan Speaker,

Inisiatif pindaan kepada RUU ini merupakan sesuatu yang benar-benar diperlukan oleh mangsa keganasan rumahtangga, dan sebagai satu pendekatan mencegah jenayah ini.

Dari 1994 sehingga 2017, prasarana kita telah berubah dengan mendadak untuk bersaing dengan pembangunan pesat. Ini termasuklah penggunaan telefon bimbit dan kini telefon pintar di laman sosial seperti WhatsApp, Facebook atau WeChat. Malangnya, platform ini juga digunakan untuk mengancam, mengugut dan menhendap atau “stalk” mangsa dengan ancaman psikologi atau intimidasi jenayah atau criminal intimidation. Setakat ini di Malaysia, belum ada lagi mana-mana undang-undang yang menyentuh ‘stalking’ atau menghendap mangsa di media sosial atau face to face, dengan berdepan dengan mangsa. Awal Februari tahun ini, seorang bekas suami telah menembak mati bekas isterinya dan telah membunuh diri di tempat kerja isterinya di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Pemangsa telah memanggil isterinya keluar dari ruang tempat menyambut tetamu dan mula bertengkar dengan kuat sebelum dua das tembakan kedengaran. Pemangsa menembak mati bekas isteri dan kemudian membunuh diri. Pasangan ini telah bercerai 5 tahun lalu dan sering mengalami masalah semenjak mereka cerai. Disebabkan sering dikacau oleh bekas suami, si isteri terpaksa menukar tempat kerja beliau dan telah bekerja dengan firma ini sejak 2 tahun lepas. Si suami memang seorang yang mempunyai sejarah keganasan sebelum ini dan mempunyai rekod jenayah dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan senjata.

Satu lagi kes menghendap. Seorang wanita yang juga berpisah daripada suami telah diserang oleh 2 lelaki yang tidak dikenali selepas bekas suami didapati menghendap dan mengambil gambar rumah mereka dan anak-anak mereka. Si isteri ditetak diatas muka dan ibu jarinya ditetak hingga putus. Laporan polis telah dibuat sebanyak 23 kali tetapi tidak diberikan perlindungan yang sewajarnya.

Ini merupakan contoh klasik ‘stalker’ atau penghendap yang dikenali sebagai “a person who harasses or persecutes someone with unwanted and obsessive attention”.

Tuan Speaker,

Dalam satu laporan media bulan Oktober 2016, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mencadangkan untuk menjadikan stalking ini satu jenayah iaitu “criminalising stalking”. Malaysia tidak mempunyai apa-apa peruntukan dalam undang-undang yang mendefinasikan stalking terutama sekali dalam kes keganasan rumahtangga. Satu kajian USM tahun 2014 menganggarkan 9 wanita daripada 100 pasangan wanita dan lelaki telah mengalami dan telah menjadi mangsa keganasan rumahtangga. Ini bererti kira-kira 900,000 atau hampir satu juta wanita telah menjadi mangsa dan 26 hingga 33 peratus daripada wanita ini telah dihendap atau dihantui oleh pasangan pemangsa. Ini tidak termasuk, kanak-kanak dan lelaki. Maka bilangan mangsa stalking pastinya lebih tinggi. Satu kajian tahun 2012 di National Institute of Justice di Amerika Syarikat memutuskan bahawa pemangsa yang menghendap mangsa mereka jauh lebih berisiko untuk “mengkongkong dan akan mengancam dan mengganas secara seksual terhadap pasangan mereka berbanding dengan jenis pemangsa yang tidak menghendap.

Banyak memorandum telah diberikan kepada pihak kerajaan sejak tahun 2005 untuk memasukkan ‘stalking’ sebagai satu jenayah namun sudah masuk tahun 2017 masih tiada apa-apa tindakan dari pihak kerajaan dan sehingga kini belum lagi dimasukkan kedalam pindaan RUU ini.

Pindaan kepada RUU ini juga tidak menyentuh langsung keseriusan isu stalking.

Maka saya ingin bertanya disini, mengapa stalking tidak dimasukkan kedalam pindaan RUU ini memandangkan Menteri sendiri telah memberikan kenyataan akan memasukkan cadangan stalking ini dalam pindaan kali ini? Saya ingin mencadangkan agar pihak kementerian memberikan pertimbangan untuk memasukkan cadangan stalking ke dalam RUU ini.

In kerana undang-undang sedia ada tidak mencukupi disebabkan perintah perlindungan melarang orang yang dituduh menghampiri mana-mana orang yang dilindungi dan mengarahkan orang tertuduh untuk “mengelakkan sebarang komunikasi dengan apa-apa cara sekalipun dengan mana-mana orang yang dilindungi”.

Walaubagaimanapun, Protection Order sering tidak dapat melindungi daripada tindakan menghendap. Pertama, mangsa hanya boleh memohon PO sekiranya kes keganasan rumahtangga dibawa ke mahkamah; Kebanyakan kes berakhir selepas siasatan polis. Seterusnya, mahkamah boleh memilih untuk tidak memasukkan dalam PO serangan stalking. Terakhir, PO hanya sah selama maksimum 12 bulan, dan hanya boleh diperbaharui sekali. Ini amat membahayakan mangsa kerana selepas proses mahkamah, selepas 12 bulan, tiada perlindungan akan diberikan. Saya ingin mencadangkan disini agar PO ini kekal sehingga pemangsa membuktikan bahawa dia tidak lagi menjadi ancaman kepada simangsa. Ini merupakan isu-isu teknikal yang sering menghantui mangsa keganasan rumah tangga.

Menghendap juga tidak jelas diperuntukan dalam Kanun Keseksaan, maka ianya seolah-olah satu pas percuma yang boleh digunakan oleh golongan yang berpotensi untuk mendera. Negara Singapura, Filipina, UK, India dan Kanada adalah antara negara yang mempunyai peruntukan perundangan yang menjenayahkan tindakan menghendap ini.

Sudah tentu, undang-undang sahaja tidak mencukupi. Agensi penguatkuasa mesti diperkukuhkan dengan pengetahuan dan diberdayakan dengan sumber, latihan dan pengawasan yang mencukupi. Walaubagaimanapun, meminda undang-undang adalah langkah pertama yang perlu, yang akan melengkapkan agensi penguatkuasa supaya mangsa mendapat perlindungan sewajarnya.

Ada juga pegawai polis yang tidak tahu SOP prosedur dan ada juga yang menawarkan diri mereka sebagai ‘negotiator’ untuk menyelesaikan masalah rumahtangga ini. Adakah mekanisme oleh kementerian untuk memantau dan menambahbaik penguatkuasaan? Saya ingin mencadangkan disini agar mesyuarat peringkat negeri diadakan dengan penglibatan semua ‘stakeholders’ seperti pihak polis, JKM, majistret, pihak Peguam Bela dan NGO.

Saya juga ingin mencadangkan agar penderaan dan keganasan rumahtangga diantara pasangan intim yang belum kahwin seperti boyfriend dan girlfriend atau tunang, dimasukkan sekali dalam pindaan disini. Setakat ini, Akta Keganasan Rumahtangga tidak melindungi teman lelaki atau teman wanita ataupun tunang.

Perintah perlindungan

Akhir kata, sudah tiba masa satu Suruhanjaya Menangani Keganasan Terhadap Wanita ditubuhkan diperingkat parlimen agar hak dan perlindungan yang terbaik diberikan kepada mangsa keganasan rumah tangga. – Roketkini.com

>> Teks ucapan perbahasan pindaan Rang Undang-undang Akta Keganasan Rumahtangga 1994 oleh Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Setiausaha Publisiti Wanita DAP Kasthuri Patto di Dewan Rakyat I 25 Julai 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *