30 soalan 1MDB ditolak, Pakatan Harapan desak Pandikar kaji semula jawatan speaker

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang menggesa Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengkaji semula kedudukannya sebagai Speaker Dewan Rakyat kerana menolak kira-kira 30 soalan berkaitan 1MDB.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tindakan Pandikar ini seolah-olah sebagai usaha untuk gelapkan maklumat dan keterangan mengenai 1MDB.

“Daripada buku aturan mesyuarat yang disediakan Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat, saya dapati beberapa soalan saya digugurkan dan khususnya soalan saya hari ini.

“Saya minta perdana menteri menyatakan adakah kerajaan sedia bentangkan kertas putih bagi menjelaskan campur tangan asing berkaitan siasatan dana 1MDB,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen pada 24 Julai lalu.

Ahli Parlimen Puchong (DAP), Gobind Singh Deo berkata Datuk Seri Najib Razak sepatutnya mengambil “peluang keemasan” menjawab segala isu mengenai 1MDB di Dewan Rakyat.

“Kenapa dia tidak boleh jawab?

“Bukan sahaja rakyat Malaysia yang mahu mengetahui dan lihat mengenai isu ini tetapi rakyat seluruh dunia yang mengikuti isu ini juga mahu penjelasan sama,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mendakwa Dewan Rakyat kini bukan lagi untuk rakyat.

Sebaliknya, pemimpin AMANAH itu berkata Dewan Rakyat kini mengambil tugas sebagai tempat untuk Pandikar melindungi pemimpin dalam kerajaan yang melakukan salah laku.

“Soalan yang saya nyatakan bukannya khusus mengenai 1MDB, saya hanya nyatakan minta perdana menteri berikan respon sahaja terhadap saman sivil dilakukan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat dalam isu 1MDB.

“Kami tanya soalan paling mudah tetapi respon diberikan adalah seoalah-olah isu mengenai 1MDB ini sebagai suatu perkara yang dianggap sebagai perkara kecil,” katanya.

Sebelum itu, sewaktu sesi aturan mesyurat di dalam Dewan Rakyat, Wan Azizah menuntut penjelasan Timbalan Speaker, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, disusuli ahli Parlimen lain yang mahu mendapatkan penjelasan mengenai keputusan Pandikar.

Pertikaman lidah turut berlaku di antara wakil rakyat pembangkang dengan ahli Parlimen Barisan Nasional.

“Merujuk kepada peraturan mesyuarat 99, keputusan Speaker adalah muktamad. Jika tidak berpuas hati dengan keputusan speaker, boleh buat usul persendirian,” kata Ismail.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *