Kes bantahan berpindah peniaga Pasar Besar Pasir Puteh ditangguh 21 Ogos

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam menangguhkan kes permohonan peniaga Pasar Besar Pasir Puteh yang membantah arahan berpindah pada 21 Ogos depan.

Wakil Persatuan Peniaga Pasar Pasir Puteh memberitahu mereka menolak arahan pindah oleh Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) memandangkan lokasi baharu itu yang terpencil, lapor Malaysia Dateline.

“Tempat kami sekarang lebih sesuai (untuk meneruskan perniagaan). Tempat yang baru (Pasar Besar Pasir Puteh Sentral) amat tidak strategik di pinggir bandar. Laluan masuk pun menempuh bangunan lain,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu himpunan protes di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu yang disertai lebih 50 peniaga terjejas.

Menurutnya, majoriti peniaga di Pasar Besar Pasir Puteh itu membantah arahan tersebut ekoran petak niaga yang terlalu kecil dengan kadar sewanya lebih tinggi berbanding pasar sedia ada.

“Ini adalah kerjasama paling erat dalam kalangan peniaga. Kita semua tidak mahu pindah. 80 peratus menyebelahi suara persatuan yang tidak mahu berpindah,” tegasnya lagi dipetik dari rakaman video yang dimuat naik di Facebook Pemuda AMANAH Kelantan.

Turut menyertai bantahan itu wakil penduduk Lembah Binjai Seksyen 8 Zon A yang mendesak supaya kerajaan negeri membatalkan arahan berpindah.

Pihak MDPP melalui notis pemindahan hanya memberi tempoh dua minggu bermula 15 Januari lalu untuk 569 peniaga pasar terbabit mengosongkan pasar lama.

Dalam hal berkaitan, Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa pernah menyarankan Menteri Besar negeri itu, Datuk Ahmad Yakob memanggil peniaga terjejas untuk berdialog bagi mencari penyelesaian yang terbaik.

Husam yang juga satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Amanah itu turut bertemu peniaga terjejas yang enggan berpindah ke Pasar Pasir Puteh Sentral.

Kos pasar dibina MDPP itu mencecah RM5.6 juta dengan kadar sewa dikenakan antara RM60 hingga RM350 bergantung kepada saiz.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *