Antara Pakatan Harapan dan Pas, siapa sebenar pencabar BN dalam PRU14?

Saban hari, rakyat menanti detik tibanya PRU 14, sudah banyak spekulasi muncul mengenai bilakah tarikh keramat itu akan diumumkan namun hingga kini tiada jawapan untuk persoalan tersebut.

Selain itu, melihat kepada keadaan semasa politik tanah air, dapat kita lihat tiga parti besar yang menjadi pilihan rakyat iaitu Umno/BN, Pas dan Pakatan Harapan yang memerintah beberapa negeri di Malaysia.

Persoalannya kini, antara Pas atau Pakatan Harapan, parti manakah yang sebenarnya mampu memberikan saingan kepada parti pemerintah, Umno/BN?

Penganalisis Politik, Md Shukri Shuib berpendapat parti-parti pembangkang sedia ada bukanlah satu cabaran besar bagi Umno? BN.

“Sebenarnya, formula Umno/BN adalah satu cabaran terbesar bagi Pakatan Harapan dan Pas untuk ditiru bagi menjana keyakinan mereka dalam cubaan merampas kerajaan.

“Disebabkan itulah Umno/BN kekal utuh dan parti pembangkang lain bukan pencabar mereka namun cabaran besar bagi parti itu ialah soal perpaduan pemimpin serta membina keyakinan awam terhadap parti,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Ambil kesempatan

Tambah Md Shukri lagi, pembangkang dilihat hidup hanya mengambil kesempatan daripada kelemahan parti itu sahaja.

“Apa sahaja kelemahan Umno/BN, ia merupakan senjata bagi pembangkang seperti Pas dan Pakatan Harapan namun begitu, kedua-dua parti tersebut kekurangan momentum untuk menakluki Putrajaya.

“Contohnya, Pakatan Harapan mempunyai liabiliti menggugat usaha mereka untuk bersatu seperti kurangnya perpaduan antara parti-parti didalamnya.

“Tidak seperti Umno/BN yang kekal kukuh serta mempunyai kekuatan untuk terus memenangi PRU 14 walaupun wujud persepsi negatif dan skandal oleh pemimpinnya, ” katanya lagi.

Pas kena stroke?

Katanya lagi, sejak pengunduran Pas daripada Pakatan Rakyat, parti tersebut dilihat lemah dan seolah kena ‘stroke’.

“Pas kini berusaha untuk memotivasikan ahli dan pengikut yang masih bercelaru dengan hala tuju Pas kini.

“Apatah lagi parti tersebut masih lagi dalam usaha menyembuhkan ‘luka’ akibat perpecahan mereka hingga terbentuknya Amanah yang seolah Pro DAP,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau turut mengulas bahawa Pas kini tidak lagi diperlukan di dalam Pakatan Harapan dalam usaha untuk menarik undi orang melayu.

“Pas sekarang tidak diperlukan Pakatan Harapan kerana mereka sudah ada Amanah dan Bersatu yang berperanan sebagai magnet untuk menarik undi orang melayu yang menyokong gagasan diperjuangkan DAP.

“Bagaimanapun, pada pandangan saya, Umno/BN akan kekal menguasai Parlimen dan Pakatan Harapan hanya akan didominasi oleh kemenangan kerusi-kerusi DAP sahaja,” tambahnya lagi.

Semua parti adalah pencabar

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian mendakwa antara Pas dan Pakatan Harapan, kedua-duanya merupakan pencabar besar bagi Umno/BN.

“Semua yang bertanding lawan Umno/BN adalah pencabar kerana masing-masing ada kekuatan dan kelemahan masing-masing.

“Ada kawasan mempunyai majoriti penyokong masing-masing kerana sokongan tegar rakyat tidak mudah untuk diubah,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Tambahnya lagi, beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad mengenai realiti pertarungan politik sebenar pada PRU14 antara Pas dan BN.

“Kemungkinan besar Pas beranggapan bahawa Amanah yang menggantikan mereka di Pakatan Harapan tidak sekuat parti tersebut, maka Pas merasakan lawan yang lebih kuat adalah BN,” tambahnya.

>> Komentar bebas NURUL KHALEEDA RASHIKIN, wartawan Sinar Online I 20 Julai 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *