Tahniah atas pembentukan struktur kepimpinan dan logo HARAPAN – Jamzuri Ardani

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Selangor meraikan dan mengucapkan tahniah di atas kejayaan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan membentuk struktur kepimpinan dan pelancaran logo HARAPAN dalam usaha mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai sebuah entiti politik rasmi mewakili gabungan empat parti utama iaitu DAP, Keadilan, AMANAH, dan PPBM.

Kejayaan ini memberikan kelegaan kepada seluruh pendokong dan penyokong Pakatan Harapan di seluruh negara sebagai satu tanda aras penting dalam usaha menjatuhkan rejim kleptokrat Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan.

2. Namun masih banyak lagi cabaran-cabaran besar yang perlu dihadapi oleh Pakatan Harapan bagi memastikan matlamat menyelamatkan dan membina semula negara ini tercapai menjelang PRU Ke-14 nanti. Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Selangor memberikan penuh keyakinan terhadap keupayaan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan merencana, membuat keputusan, dan seterusnya mengendali segala usaha membebaskan rakyat dari kongkongan rejim kleptokrat BN ini.

Rakyat sedang memerhati, menilai, dan menanti langkah-langkah politik seterusnya yang bakal ditampilkan kepada rakyat oleh Pakatan Harapan.

3. Adalah menjadi harapan kami agar selepas ini semua organisasi Pakatan Harapan di peringkat negeri, parlimen dan DUN dapat dibentuk secara rasmi dengan lebih mantap dan kukuh bagi menggerakkan usaha-usaha bersama menghadapi BN dalam PRU Ke-14 nanti.

Kami juga mendesak pihak Pendaftar Pertubuhan dan Suruhanjaya Pilihanraya agar dapat segera memberikan kelulusan ke atas permohonan pendaftaran dan logo Pakatan Harapan tanpa mencipta pelbagai alasan untuk melengah-lengahkannya.

4. AMANAH Selangor menyeru seluruh rakyat Selangor berdiri teguh menyokong, membantu, dan memastikan Pakatan Harapan dapat membentuk kerajaan Pakatan Harapan di Selangor, dan di peringkat persekutuan dalam pilihanraya umum akan datang.

“AMANAH Demi Negara”
“Amanah. Progresif. Peduli”

JAMZURI ARDANI
Pengarah Komunikasi
Parti Amanah Negara (AMANAH)
Negeri Selangor
14hb Julai 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *