Rakyat Malaysia antara yang paling ‘malas’ berjalan dalam kajian libatkan 46 negara

KUALA LUMPUR: Sebuah kajian mengaitkan sifat “malas” dengan tabiat berjalan kaki melibatkan 46 negara mendapati rakyat Malaysia antara yang paling “malas” dengan purata langkah berjalan untuk sehari lebih rendah daripada purata dunia.

Hasil penyelidikan Universiti Stanford di Amerika Syarikat itu mendapati rakyat Malaysia hanya berjalan 3,963 langkah, jauh rendah daripada purata dunia 4,961, lapor akhbar USA Today baru-baru ini memetik hasil kajian diterbitkan jurnal “Nature”.

Dua lagi negara di mana rakyatnya paling sedikit berjalan kaki ialah Arab Saudi (3,807 langkah) dan Indonesia (3,507 langkah).

Manakala penduduk di Hong Kong pula paling banyak berjalan dengan purata berjalan 6,880 langkah sehari.

Hasil kajian itu berdasarkan kaedah pengiraan langkah yang dipasang di telefon pintar kira-kira 700,000 orang di 46 negara seluruh dunia untuk mengesan aktiviti berjalan mereka.

Profesor Scott Delp yang mengetuai penyelidikan itu memberitahu BBC, kajian itu 1,000 kali lebih besar daripada kajian sebelum ini mengenai pergerakan manusia.

Menurut kajian itu, di negara yang tiada masalah obesiti, rakyat yang mempunyai masalah tersebut berjalan pada kadar hampir sama dengan mereka yang kurang gemuk.

Ia berbeza dengan negara yang mempunyai kadar obesiti yang tinggi, di mana terdapat jurang yang besar antara mereka yang banyak berjalan dengan yang berjalan sedikit.

Antara negara tersebut ialah AS di mana “ketidaksamaan aktiviti” di kalangan rakyatnya menduduki tempat ke-4 dari keseluruhan negara.

“Jika anda rasa sesetengah orang di negara sebagai ‘banyak aktiviti’ dan negara lain sebagai ‘kurang aktiviti,’ saiz jurang antara mereka adalah petunjuk yang kuat bagi tahap obesiti dalam masyarakat itu,” kata Delp kepada laman berita Stanford.

Penyelidik, Tim Althoff berkata Sweden dengan purata berjalan 5,863 langkah mempunyai jurang ketidaksamaan aktiviti yang paling kecil.

“Ia juga mempunyai kadar obesiti yang paling rendah,” katanya.

Satu lagi faktor ketidaksamaan aktiviti adalah tempat tinggal seseorang – bandar yang berkepadatan penduduk tinggi atau kawasan pinggir bandar.

Seorang lagi penyelidik, Jennifer Hicks berkata mereka meneliti 3 bandar di California yang terletak berdekatan – San Francisco, San Jose dan Fremont.
“Kami dapati San Francisco mempunyai kedua-duanya iaitu skor keupayaan berjalan tertinggi dan tahap ketidaksamaan aktiviti terendah.

“Di bandar yang lebih mudah berjalan, semua orang cenderung untuk berjalan setiap hari tidak kira lelaki atau perempuan, muda atau tua, berat badan yang sihat atau obes,” kata Hicks.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *