Pengurusan ekonomi, kewangan makin pincang, ditambah lagi skandal 1MDB jerut leher rakyat

Sewaktu hari terakhir Ramadan baru-baru ini saya ke Bazar Ramadan di sebuah negeri luar Kuala Lumpur. Pada masa itu, gerai pun tinggal beberapa kerat sahaja, maklumlah peniaga juga mahu beraya. Lalu saya tuju ke sebuah gerai yang masih terbuka. Gerai jual popiah. Nampak menarik dan sedap.

“Dik, berapa sekeping?” tanya saya. “Singgit” jawabnya ringkas sambil menggulung popiah.

“Mahalnya dik!” balas saya spontan sebab setahu saya kalau di KL pun harga popiah tidaklah sampai satu ringgit.

Biasanya di KL pun peniaga jual sekitar lima untuk RM4 atau 80 sen sekeping. Selepas tawar-menawar mereka jual sepuluh keping dengan harga RM7, jadi jatuh 70 sen sekeping. Saya beli dan doakan bisnes adik-adik itu diberkati sebelum beredar.

Kisah popiah ini saya timbulkan bukan untuk mengutuk peniaga atau untuk menunjukkan betapa perlunya kita bijak dalam membeli. Ia sekadar untuk menonjolkan kesan kenaikan harga barang yang menekan kehidupan peniaga dan pengguna.

Peniaga terpaksa menaikkan harga popiah kerana kos meningkat. Pengguna tawar harga kerana tak mampu bayar.

Hanya mainan politik?

Apakah kenaikan harga barang dan kos sara hidup sesuatu yang benar berlaku atau hanya mainan politik pembangkang untuk mensabotaj ekonomi negara?

Untuk jawapannya, saya mengajak teman-teman pembaca untuk meneliti angka-angka penunjuk berikut. Pertama, kadar inflasi dan kedua, kadar mata wang ringgit.

Kadar inflasi atau kadar kenaikan harga boleh diukur melalui Indeks Harga Pengguna (IHP).

IHP Malaysia dilaporkan meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun pada bulan Februari 2017 iaitu 4.5 peratus berbanding dengan 3.2 peratus pada bulan sebelumnya. Kadar 4.5 peratus itu adalah yang tertinggi sejak November 2008.

Bagaimanapun sebahagian firma penyelidikan mengunjurkan kadar tersebut akan menurun antara 3.0 hingga 3.2 peratus untuk suku kedua 2017 mengaitkannya dengan harga minyak mentah dan kadar tukaran mata wang asing.

Harga minyak dijangka kekal atau menurun manakala ringgit diramal mengukuh.

Sedang ini menjadi andaian, sekilas pandang kepada graf IHP terkini yang diterbitkan Jabatan Perangkaan bagi menerangkan kadar inflasi dalam bulan Februari 2017 menunjukkan graf yang kekal menokok dari tahun ke tahun walaupun harga minyak turun naik.

Yang paling tinggi ialah harga makanan dan minuman bukan beralkohol iaitu 28.4 peratus lebih mahal pada Januari 2017 jika dibanding dengan 2010.

Kalau tinjau di pasar pun kita tahu harga ikan telah mendadak naik, contohnya harga ikan kembung yang dilaporkan sehingga RM20 sekilo.

Gaji terus tidak meningkat

Ini menunjukkan bahawa harga barang keperluan utama adalah tidak anjal berbanding harga minyak atau kadar mata wang. Ini memberi gambaran ada faktor-faktor lain yang menyebabkan harga barang kekal tinggi.

Faktor-faktor itu termasuklah pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), penghapusan subsidi, kos perniagaan yang tidak dapat dielakkan akibat kenaikan tol dan pengangkutan, dasar perniagaan yang menjurus kepada monopoli yang digalakkan kerajaan dan sebagainya.

Lebih malang lagi jika gaji rakyat tidak meningkat pada kadar yang setara atau lebih tinggi daripada kenaikan harga barang.

Apakah ini kerana pembangkang sabotaj? Bukankah ini semua dalam kawalan dan dasar parti pemerintah?

Kadar mata wang pula lazimnya dibandingkan dengan kadar mata wang Amerika Syarikat (AS). Umum mengetahui kadar mata wang kita sangat lemah dan telah menurun sejak beberapa tahun lalu.

Menurut laman Bank Dunia, kadar ringgit telah menurun daripada RM3.06 (2011) kepada RM4.39 (2017) berbanding dolar AS. Ini bermakna ringgit Malaysia kecil berbanding dengan dolar dan apa-apa urusan dalam nilaian dolar (yang menjadi rujukan utama dunia) akan menjadi mahal terutama barangan import.

Lemahnya nilai ringgit adalah salah satu punca utama kenaikan harga barang kerana kita masih bergantung kepada import untuk barangan utama termasuklah makanan.

Nilai ringgit ditentukan oleh permintaan dan penawaran di pasaran mata wang yang banyak dipengaruhi oleh iklim ekonomi negara.

Menurut jentera propaganda parti pemerintah, kejatuhan ringgit berkait dengan nilai dolar AS yang mengukuh justeru di luar kawalan parti pemerintah. Bahkan semua mata wang serantau yang lain telah jatuh jika dibandingkan dengan dolar AS, bukannya ringgit semata-mata.

Skandal terbesar dunia

Jika difikirkan ada logiknya alasan ini namun jika diteliti dengan lebih mendalam kejatuhan nilai ringgit jauh lebih buruk berbanding mata wang lain di rantau ini, malah bertambah buruk sejak timbulnya skandal terbesar dunia.

Menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam kenyataannya pada 4 Julai lalu, selain dari Indonesia dan Vietnam, mata wang ringgit adalah yang paling teruk berbanding Singapura, Thailand, Filipina dan Korea Selatan jika dibandingkan dengan nilai pada tahun 2007 (iaitu nilai asal sebelum Datuk Seri Najib Razak menjadi menteri kewangan).

Sejak tahun 2008, nilai ringgit telah susut 27.7 peratus sedangkan nilai mata wang lain naik 6.8 peratus

Katanya lagi, “Lebih teruk lagi, kejatuhan nilai ringgit sebenarnya jauh lebih cepat berbanding mata wang lain sejak berita dana 1MDB masuk ke akaun peribadi Najib dilaporkan oleh Wall Street Journal.

Kejatuhan Ringgit berbanding tahun 2015 (iaitu sebelum berita itu dilaporkan) adalah sebanyak 12.3 peratus iaitu tertinggi berbanding mata wang lain di rantau ini”.

Mungkin pada persepsi umum, Najib telah menunjukkan kejayaan ekonomi pentadbirannya melalui beberapa laporan antarabangsa seperti Bloomberg, BAV Consulting and Wharton School dan Majalah Forbes, namun kejayaan-kejayaan tersebut dilihat menguntungkan golongan tertentu sahaja melalui projek-projek besar yang menggunakan pekerja asing dan kepakaran asing manakala pertumbuhan ekonomi yang dibanggakan tidak membawa kepada gaji yang lebih tinggi kepada rakyat.

Nilai ringgit yang mengukuh tidak pun menurunkan harga barang.

Amatlah jelas bahawa Najib wajib memikul tanggungjawab dengan kemerosotan nilai ringgit, yang membawa kesan langsung kepada rakyat akibat kenaikan harga barang dan inflasi.

Kepincangan pengurusan ekonomi dan kewangan beliau ditambah dengan skandal 1MDB jelas meningkatkan derita rakyat. Mungkin inilah yang lebih tepat dikaitkan dengan sabotaj ekonomi.

>> Komentar bebas Syed Ibrahim Syed Noh, Ketua Penerangan PKR I 11 Julai 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *