Hati-hati, jangan beli kereta baharu untuk tujuan Uber dan Grab, akan undang beban kewangan

KUALA LUMPUR: DAP hari ini menasihatkan mereka yang merancang untuk menjadi pemandu Uber atau Grab supaya tidak membeli kereta baharu semata-mata untuk tujuan itu, susulan kajian parti itu yang mendapati pendapatan pemandu perkhidmatan tersebut semakin berkurangan.

“Membeli kereta baharu untuk tujuan Uber atau Grab akan mengundang beban kewangan, daripada ansuran bulanan, insurans kereta kepada kos pembiayaan.

“Dengan membeli sebuah kereta, pembeli terpaksa kekal dalam industri ini untuk beberapa tahun kerana tidak mudah menjual balik kereta yang hanya berusia setahun,” kata Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran, lapor FMT.

Ketika pembentangan Bajet 2017 pada Oktober tahun lalu, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beberapa langkah membolehkan mereka yang merancang menjadi pemandu Uber atau Grab memiliki kenderaan baharu melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di samping rebat sehingga RM4,000 untuk pembelian Proton Iriz.

Najib menjangkakan golongan berpendapatan rendah mampu meraih sehingga RM1,500 sebulan bagi pemandu yang bekerja 10-40 jam seminggu.

Rajiv bagaimanapun berkata dasar kerajaan itu boleh menyebabkan rakyat Malaysia terperangkap dalam hutang, sambil merujuk kajian DAP yang mendapati 75% pemandu Uber dan Grab tidak puas hati dengan komisen 20-25% yang diterima mereka.

“Walaupun model kewangan Uber and Grab pada awalnya mampu meraih pasaran sama ada di pihak pemandu ataupun penumpang, tidak ada jaminan mengenai pendapatan pada bulan dan tahun akan datang,” katanya.

Rajiv menasihatkan mereka yang mahu menjadi pemandu Uber atau Grab menggunakan kereta mereka yang sedia ada.

“Tetapi membeli kereta dengan pinjaman 7 atau 9 tahun semata-mata untuk memandu Uber atau Grab adalah berisiko, kerana tahap pendapatan pada masa ini akan terus merudum seperti mana kata pemandu dalam respon mereka.”

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *