Klinik bergerak Teddy beri rawatan dan makanan percuma pada warga ibu kota

KUALA LUMPUR: Di lorong gelap di tengah bandaraya Kuala Lumpur, kelihatan sepasukan doktor merawat pesakit secara percuma dengan menawarkan rawatan perubatan, makanan dan hadiah berupa patung beruang teddy.

Pasukan tersebut merawat golongan miskin dan gelandangan di ibu kota itu sekali seminggu dengan memasang meja dan kerusi di siar kaki berdekatan sebuah masjid tua Masjid Jamek Kuala Lumpur, lapor AFP.

Tapak rawatan perubatan dikenali sebagai “Klinik Bergerak Teddy” kerana patung beruang teddy diberikan secara percuma kepada kanak-kanak – dan kerana ia dikendalikan seorang doktor bertubuh besar dengan ketinggian 6 kaki (1.8 meter), Dr Madhusudhan Shanmugam.

Beliau dipuji pesakit kerana perwatakannya yang mudah mesra.

“Dengan kos sara hidup yang tinggi di bandar, ramai yang terpaksa mendapatkan rawatan perubatan secara percuma,” kata lelaki berusia 35 tahun itu kepada AFP, menjelaskan mengapa beliau mengambil keputusan untuk mendirikan klinik 2 tahun lalu di ibu negara yang dipenuhi bangunan pencakar langit dan pusat membeli-belah moden.

Madhusudhan mendapat idea memberi patung teddy kepada kanak-kanak kerana ia membantu memudahkan beliau merawat mereka.

Kliniknya dibuka setiap malam Rabu. Satu pasukan doktor, ahli farmasi dan sukarelawan akan merawat sehingga 40 orang dan mengedarkan bahan makanan asas seperti beras, biskut dan gula yang dibekalkan oleh penderma.

Madhusudhan berkata pesakit yang datang ke kliniknya kebanyakan menghidap penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, penyakit kulit dan Parkinson.

Beliau berkata pada masa depan pasukannya berharap dapat menaik taraf klinik tersebut dengan mendapatkan sebuah van yang ditampal dengan logo beruang teddy yang akan bergerak untuk memberi rawatan secara percuma.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *