Syurga buku terpakai di Jalan Tun H.S Lee, lebih 2 juta buku menunggu pengunjung

Sesiapa sahaja yang memasuki kedai buku terpakai terbesar di Kuala Lumpur akan mendapati seolah-olah mereka disambut penuh mesra dalam suasana nyaman dengan pandangan tertumpu kepada deretan buku yang tidak berpenghujung serta disusun rapi.

Terletak di Jalan Tun H.S Lee, kedai buku itu pasti akan menjadikan setiap pencinta buku berasa terpesona dapat menjadi sebahagian daripada kedai buku terpakai tertua di Malaysia yang menempatkan kira-kira dua juta buku menyebabkan seseorang itu mendapati sukar untuk memilih kerana terdapat begitu banyak bahan bacaan pilihan.

Kedai buku dengan tiga bahagian yang dimiliki satu pasangan yang dikenali sebagai Encik dan Puan Tan sejak 1990, kini dikendalikan Jeffrey Koh, adik bongsu Puan Tan, sejak empat tahun lalu, juga menjadi rumah kepada 300,000 buku lama eksklusif yang tidak lagi diterbitkan.

Semasa zaman dahulu, ramai ekspatriat Eropah di Malaysia kembali ke negara mereka dan akan meninggalkan begitu banyak buku di rumah mereka (di sini). Memandangkan hobi abang ipar dan kakak saya adalah membaca buku, mereka secara sukarela mengumpul semua buku dari setiap rumah dan ia adalah satu keadaan yang sukar bagi mereka pada masa itu.

Bagaimanapun, disebabkan terlalu banyak buku yang perlu mereka bawa, mereka terpaksa mengimport kontena yang besar dari Australia, semata-mata untuk memasukkan buku itu,” kata Koh, 65, kepada Bernama di kedai buku itu.

Koh berkata setiap pagi, pembantunya Cik Yap yang telah bekerja di kedai buku itu sejak 27 tahun lalu akan membersihkan semua habuk dari bahagian atas buku dan akan memastikan semua buku dibalut dengan plastik untuk mengekalkan kualitinya sebaik mungkin yang boleh.

Buku ini seperti benda antik. Semakin lama, semakin mahal. Buku-buku yang sudah usang dan tidak dikeluarkan lagi di pasaran adalah lebih mahal. Itulah sebabnya kita perlu menjaganya dengan teliti dan berhati-hati,” katanya.

Ketika ditanya mengenai jenis pelanggan yang beliau ada, Koh berkata kebanyakan daripada mereka adalah pelancong Eropah.

Beliau berkata, ramai pelanggannya sangat gembira kerana mereka dapat mencari buku yang tidak boleh didapati di tempat lain dan cuma ada di sini. Mereka sanggup membayar berapa sahaja harganya kerana nilainya yang sentimental.

Mengulas mengenai tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia, Koh berkata tabiat itu harus ditanam sejak di awal persekolahan lagi memandangkan institusi itu adalah bahagian penting dalam proses pembelajaran kanak-kanak namun pendidikan di rumah memainkan peranan penting untuk membentuk tabiat membaca dalam diri kanak-kanak.

Tidak seperti orang Eropah dan Cina (di China) saya sedih apabila kanak-kanak kita tidak membaca buku dan bahan bacaan mereka dan bergantung sepenuhnya kepada internet. Ini tidak baik. Dengan membaca buku, anda bukan sahaja boleh mendapatkan lebih banyak pengetahuan dengan fakta sebenar kerana anda boleh merujuk buku itu semula, bila-bila masa sahaja kita mahu.

Tambahan pula, kepuasan membaca melalui internet tidak sama dengan keseronokan membaca buku dalam erti kata yang sebenar,” kata Koh yang menghabiskan masa dua jam membaca buku kegemarannya seperti sejarah China, politik dan biografi.

>> Komentar bebas Fatin Nabihah Marzuki daripada Bernama I 5 Jualai 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *