Pakatan Harapan cadang tubuh jkuasa bekas hakim pantau KPN, peguam negara, KP SPRM

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan bercadang menubuhkan jawatakuasa khas yang dianggotai bekas hakim dan bekas Peguam Negara untuk memantau Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata penubuhan jawatankuasa itu perlu melihat kepada beberapa kontroversi yang melanda kerajaan di bawah pengawasan mereka.

Beliau memberi contoh kontroversi membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

“Mereka ini gagal jalankan tanggungjawab kepada negara,” kata Salahuddin pada sidang media di ibu pejabat AMANAH semalam.

“Pakatan Harapan ikrar supaya ditubuhkan jawatankuasa khas untuk pantai kakitangan kerajaan termasuk peguam negara, KPN, KP SPRM dan para menteri supaya mereka jalankan tanggungjawab dengan baik.”

Salahuddin berkata cadangan penubuhan jawatankuasa 10-15 anggota itu akan diputuskan pada Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan akan datang, dan akan bertemu dengan beberapa bekas hakim yang beliau enggan namakan.

“Pakatan Harapan akan mengadakan pertemuan dengan bekas hakim supaya mereka jadi pemantau supaya harta rakyat dapat dipelihara…Kita pelawa tokoh perundangan dan kehakiman supaya tampil memberi sumbangan dan pandangan,” katanya.

Pakatan Harapan sebelum ini mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berkaitan 1MDB.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dalam saman terkini difailkan di California minggu lalu mendakwa pelbagai aset mewah dibeli menggunakan sejumlah AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang dicuri daripada 1MDB.

“Kita harus pantau dan lihat tentang kecuaian, sikap tidak ambil tahu dan berdiam diri kakitangan kerajaan,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *