AMANAH lahir daripada rahim tajdid, fahami mengapa parti Islam ini ditubuhkan

Parti Amanah Negara (AMANAH) yang ditahnikkan pada 16 September 2015 di Shah Alam, adalah sebuah parti yang lahir dari rahim tajdid.

Untuk memahami susur galur dan nasab AMANAH, kita perlu memahami latar belakang ‘kelahirannya’.

Majoriti rakyat Malaysia (mencapai 52% pengundi Malaysia dalam PRU 13) telah bersepakat untuk menolak ‘model’ politik yang dibawa oleh Barisan Nasional, mereka menyokong satu gabungan yang mengandungi kepelbagaian; pemikiran, ideologi, cara urus organisasi, sistem perkaderan dan matlamat akhir.

Namun gabungan Pakatan Rakyat pada waktu itu telah bersatu untuk membina sebuah Malaysia yang lebih aman dan sejahtera bagi didiami oleh warganya tanpa mengira warna kulit dan akidah anutan mereka.

Pakatan Rakyat pada waktu itu telah melangkah dengan bergaya. Buku Jingga’ telah menyatukan pelbagai ‘kepala’ yang ada untuk perjuangan selamatkan negara dan zuriat warganya. Itulah polisi dan rancangan bersama. Sudah barang tentu masih ada ‘ruang’ perbezaan yang banyak antara anggota PR kerana mereka sememangnya ‘pelbagai’!.

Pasca PRU13, salah satu anggota PR mula berkecamuk. Pas telah ‘berpecah dua’ dari sudut fikrah – terutamanya dalam soal hubungan dengan sesama rakan yang non Muslim.

Sudah ada ahli bahkan pimpinan Pas yang mula ragu dan ingin kembali ke era 80 an; era di mana Pas bersendirian bahkan ‘bermusuhan’ dan ‘dimusuhi’ daripada pelbagai penjuru.

Ada pula yang merasa rugi kerana Pas tak mampu laksana hudud yang merupakan ‘nyawa Pas’ disebabkan PR, bahkan ada yang lebih ekstrim mahu supaya Melayu Islam diselamatkan (entah dari apa nak diselamat?) dengan berbaik dengan Umno yang merupakan ‘pemecah’ Melayu dan ‘penconteng arang’ ke wajah mulus Islam.

Itulah ‘suasana’ yang melatari kelahiran AMANAH. Sebahagian ahli Pas tak boleh menerima idea ‘kembalikan Pas ke era 80an’, lalu mereka dipinggirkan, bahkan dihukum mandatori sebagai munafik haraki, tak jelas fikrah, jual perjuangan kepada kafir dan macam-macam lagi matan kreatif yang keluar dari mulut para pendokong ulama (?) dalam Pas.

Setelah terpinggir, para ‘bekas’ pemimpin ini – dan didokong pula oleh sebahagian anggota gerakan Islam yang cintakan Islam – telah menubuhkan AMANAH sebagai usaha reform atau tajdid.

Apa yang ingin direform? Yang ingin direform adalah gerakan politik Islam, reform dari ala-ala Timur Tengah kepada gerakan politik Islam yang kontemporari, rahmatik, Malaysia – manhaj Malizi – dan benar merakyat. Itulah tajdid atau reformasi yang ingin dibawa oleh AMANAH.

Tajdid bukanlah kerja mudah, sudah barang tentu AMANAH perlu mengambil sedikit masa untuk memahamkan massa tentang keperluan tajdid itu. InshaAllah dua tahun ini adalah masa yang memadai untuk AMANAH dikenali sebagai sebuah parti ‘reformasi’ politik Islam di Malaysia. Anda bertanya tentang ‘polisi’ dan ‘dasar’ AMANAH?, anda akan temui jawapannya apabila anda memahami tajdid yang kami perjuangkan.

>> Komentar bebas, Ustaz Ridzwan Abu Bakar, Pengarah Komunikasi AMANAH Kedah I 3 Julai 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *