Jika Pakatan Harapan memang PRU14, Cukai Pelancongan dihapuskan – Wan Azizah Wan Ismail

Akta Cukai Pelancongan 2017 yang telah diluluskan Parlimen dengan begitu tergesa-gesa pada jam 4.57 pagi, 6 April 2017 selepas perbahasan hampir 3.5 jam sekali lagi membuktikan Putrajaya gagal merangka dasar yang prihatin terhadap realiti ekonomi rakyat terbanyak masa kini.

Malah kekalutan yang timbul dari pengumuman dan kemudiannya penangguhan pelaksanaan cukai ini oleh Menteri Pelancongan, DS Nazri Aziz, akibat bantahan dari Kerajaan Negeri Sarawak membuktikan tiada penyelarasan dan perancangan rapi sebelum penguatkuasaan akta ini diumumkan.

Malah Ahli-Ahli Parlimen BN dari Sarawak sewajarnya membangkitkan bantahan rakyat Sarawak terhadap cukai pelancongan ini semasa perbahasan RUU tersebut pada sidang parlimen yang lalu.

Kegagalan Putrajaya juga kelihatan akibat tindakan Kerajaan Negeri Sarawak menarik diri dari Lembaga Pelancongan Malaysia, yang merupakan satu petanda politik buruk buat Barisan Nasional.

Setelah meneliti respon pelbagai pihak terhadap isu ini termasuk dari kalangan pengusaha industri pelancongan dan perhotelan, orang awam, analisa pakar serta pimpinan KEADILAN termasuk KEADILAN Sarawak, serta mengambil kira bahawa cukai ini bakal menambah beban yang ditanggung rakyat akibat GST, saya mengumumkan bahawa KEADILAN menolak pelaksanaan Akta Cukai Pelancongan seperti yang sedia ada.

Pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang akan datang, saya akan mencadangkan agar Akta Cukai Pelancongan ini dimansuhkan sekiranya Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Pusat pada Pilihanraya Umum ke-14 nanti.

Saya juga akan mencadangkan agar Pakatan Harapan mengkaji langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu mengukuhkan industri pelancongan, termasuk menggubal suatu akta baharu yang bukan sahaja adil kepada industri pelancongan dan orang ramai, tetapi saksama dan telus di dalam pengagihan dana yang dikutip kepada negeri-negeri.

Insiden-insiden yang berlaku sekitar pengumuman pelaksanaan Akta Cukai Pelancongan 2017 ini seharusnya menjadi pengajaran buat Menteri Pelancongan dan Putrajaya.

Seharusnya sesuatu rang undang-undang itu diberikan masa secukupnya untuk dibincang oleh semua pihak yang berkepentingan serta melalui proses jawatankuasa parlimen yang khusus, dan bukannya dibahas dengan begitu tergesa-gesa seperti yang berlaku pada awal pagi 6 April lalu.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang, Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN
Kuching, Sarawak
1 Julai 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *