WOA dakwa 800,000 wanita didera, Malaysia kurang tempat perlindungan

KUALA LUMPUR: Duta Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Yvonne Lim berkata tidak ada tempat perlindungan yang mencukupi bagi menampung keperluan wanita yang menghadapi keganasan rumah tangga.

Ini berdasarkan statistik yang menunjukkan 9% wanita menghadapi pelbagai bentuk deraan daripada pasangan mereka, menurut kajian Universiti Sains Malaysia (USM) 2014.

“Ini diterjemahkan sebagai, lebih 800,000 wanita di negara ini, yang sudah mengalami atau akan mengalami keganasan rumah tangga dalam hayat mereka.

“Tempat perlindungan merupakan tali keselamatan bagi wanita yang membuat keputusan untuk meninggalkan rumah akibat deraan. Ia memang mudah bagi kita untuk mempersoalkan, ‘Kenapa mereka tidak hanya keluar?’, apabila kita terdengar kisah wanita dalam hubungan yang kasar.

“Apa yang selalu tidak kita tidak fikir adalah: ‘Ke mana mereka boleh pergi?’,” Kata Lim dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Beliau menambah ramai mangsa tidak mempunyai keluarga atau rakan untuk kembali ke pangkuan mereka.

Kenyataan WAO menyusuli laporan yang dikemukakan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu oleh pelapor khas PBB mengenai keganasan terhadap wanita.

Laporan itu menekankan kewajipan kerajaan menyediakan tempat perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga.

“Tempat perlindungan untuk mangsa keganasan rumah tangga amat kurang di Malaysia. Terdapat 42 tempat perlindungan yang diwartakan di Malaysia, di mana 34 dikendalikan kerajaan.

“Setiap tahun, secara putara tempat perlindungan kendalian kerajaan itu secara keseluruhannya menempatkan hanya 32 orang mangsa keganasan rumah tangga (tempat perlindungan ini tidak eksklusif untuk keganasan rumah tangga).

“Sementara itu, WAO, yang mengendalikan tempat perlindungan diwartakan yang terbesar, menempatkan 100 mangsa keganasan rumah tangga setiap tahun.

“Permintaan untuk perkhidmatan perlindungan sentiasa melebihi kapasiti, “kata Lim.

Menurutnya, WAO dan organisasi hak wanita lain berasa tertekan kerana menanggung beban membantu majoriti mangsa keganasan rumah tangga.

“Pelapor khas PBB menekankan kerajaan ‘mesti membantu mangsa membina semula kehidupan mereka dan mengatasi pelbagai akibat keganasan’.

“Ini memerlukan akses kepada perkhidmatan dan perlindungan yang mampu milik dan berpatutan. Kita bersetuju dengan saranan itu,” kata Lim.

Beliau menyeru agar kerajaan menubuhkan lebih banyak tempat perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga dan memperuntukkan lebih banyak dana untuk menjalankan serta menguruskan tempat perlindungan ini.

“Pekerja sosial dan kaunselor juga memainkan peranan penting dalam perkhidmatan perlindungan, kerana mereka memberikan sokongan emosi yang penting kepada wanita dan anak-anak mereka.

“Kerajaan mesti menyediakan perkhidmatan perlindungan komprehensif meliputi kerja sosial dan kaunseling,” kata Lim.

“Dengan menyediakan perkhidmatan sedemikian, kita dapat menyelamatkan nyawa wanita.”

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *