Tanggungjawab kerajaan terhadap keselamatan di Kuala Terengganu – Raja Bahrin Shah

Kebakaran besar yang berlaku buat kali kedua dalam tempoh setahun melibatkan rumah serta kedai dikawasan Jalan Petani berhampiran dengan Dataran Shahbandar amat mendukacitakan. Lebih kurang setahun yang lalu, satu insiden kebakaran juga berlaku hanya di seberang jalan yang turut memusnahkan beberapa rumah dan kedai.

Masalah tekanan air yang rendah yang tidak diusahakan untuk dipertingkatkan telah sekali lagi menyukarkan usaha pihak bomba mengawal dan memadamkan api telah berulang ditempat yang sama.

Sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu, saya amat berdukacita dengan situasi ini, Kuala Terengganu yang berstatus sebuah Bandaraya tidak sepatutnya menghadapi masalah keselamatan asas seperti ini.

Kalau situasi sebuah Bandaraya tidak mempunyai tekanan air yang mencukupi berhadapan kebakaran bangunan kecil satu tingkat, bagaimana pihak Bomba àkan menangani situasi kebakaran bangunan yang jauh lebih tinggi yang dirikan sekarang?

Kebakaran tahun lepas melibatkan hanya lebih kurang 4 buah bangunan tetapi yang berlaku kali ini berjumlah 13 bangunan.

Persoalannya, dimanakah peningkatan tekanan air yang diperlukan oleh Bomba untuk menghadapi masalah yang sama ditempat yang sama? Sebuah Bandaraya tidak sepatutnya hanya bermegah dengan bangunan moden yang tinggi dan besar tanpa meningkatkan kualiti serta keupayaan keselamatan yang diperlukan.

Kebakaran dahsyat bangunan pada lewat malam di Kota besar London beberapa hari lepas telah menglihat kebangkitan rakyat yang sangat marah atas kecuaian kelulusan pihak berkuasa untuk renovasi bangunan yang telah mengakibatkan banyak nyawa orang awam terkorban.

Kita sangat bernasib baik dua kebakaran ditempat yang sama berlaku pada waktu orang ramai masih belum tidur. Apakah insiden yang lebih buruk yang melibatkan kehilangan nyawa harus berlaku sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya?

Pihak Berkuasa dan Kerajaan mesti besikap lebih profesional dan bertanggung jawap dalam isu keselamatan dan kemudahan asas serta keselamatan rakyat.

Jangan hanya bermegah dengan tahap kuantiti pembangunan tanpa meningkatkan kualiti keselamatan dan kemudahan untuk rakyat.
Sebenarnya sudah ada 3 kebakaran dalam waktu beberapa tahun yang lepas dikawasan yang sama. Saya mohon kerajaan dan pihak berkuasa lebih prihatin dan peka keperluan serta keselamatan rakyat jelata yang mengharapkan pembelaan penjagaan nyawa serta harta benda rakyat.
Mangsa mangsa yang terlibat adalah dari golongan peniaga kecil yang tidak mempunyai insuran serta penghuni rumah berpendapatan rendah yang rumah mereka juga tidak berinsuran. Mereka boleh dikatakan kehilangan hampir segala galanya.

Saya mendesak Kerajaan dan pihak berkuasa bertindak segera membela keselamatan dan kebajikan rakyat di Kuala Terengganu supaya setaraf dengan statusnya sebagai sebuah Bandaraya yang boleh dibanggakan dalam arti kata yang sepenuhnya.

YB Raja Kamarul Bahrin Syah
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
18 Jun 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *