Keluarga politik ada di mana-mana, tidak bercanggah dengan nilai meritokrasi

Pertikaian antara anak-anak pengasas republik Singapura, Lee Kuan Yew bukan saja soal sama ada rumah pusaka di 38, Oxley Road patut dirobohkan atau tidak. Ia juga menimbulkan perdebatan sama ada keluarga Lee wajar terus terlibat dalam politik Singapura.

Ini kerana adik kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong iaitu Lee Hsien Yang mendakwa abangnya sedang menyediakan anaknya, Li Hongyi untuk kerjaya politik. Tetapi bukan saja Hsien Loong menafikan, anaknya juga menyatakan bahawa beliau tidak berminat terhadap politik.

Malahan anak Hsien Yang, Li Shenwu juga menegaskan beliau tidak akan memasuki politik. Katanya, adalah tidak baik bagi Singapura untuk generasi ketiga keluarga Lee terus terlibat dengan politik. Singapura, katanya adalah lebih besar daripada sesebuah keluarga.

Namun mungkin sebahagian rakyat Singapura yang melihat ketokohan Kuan Yew dan anaknya Hsien Loong berharap juga cucunya, Hongyi dan Shenwu dapat memimpin republik mereka.

Apa salahnya perkara itu berlaku kalau mereka mempunyai kebolehan berpolitik. Ia tetap tidak bercanggah dengan nilai meritokrasi yang dipegang oleh Singapura.

Sementara itu, di Indonesia dll

Di Indonesia pula, apabila Setiausaha Agung Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP), Hasto Kristiyanto ditanya majalah Tempo siapakah yang bakal menjadi ketua umum parti itu bagi menggantikan Megawati Sukarnoputri, beliau menjawab: “Kader menempatkan Bung Karno dan keluarganya sebagai pemimpin partai. Keluarga Bung Karno disiapkan jadi pemimpin.”

Bung Karno merujuk Sukarno, bapa kemerdekaan dan presiden pertama Indonesia.

Maka dibayangkan bahawa yang bakal menggantikan Megawati ialah sama ada Puan Maharani, Prananda Prabowo atau Puti Seruni. Puan dan Prananda adalah anak Megawati dan Puti adalah anak Guntur. Ketiga-tiga mereka adalah cucu Sukarno yang aktif dalam PDIP.

Namun begitu, keluarga Sukarno tentu terpaksa menghadapi proses demokrasi untuk menjadi memimpin Indonesia. Mereka akan hadapi ahli-ahli politik dari keluarga Suharto melalui parti Golkar dan Abdurrahman Wahid (Gus Dur) melalui Parti Kebangkitan Bangsa (PKB).

Di Filipina, politik didominasi oleh beberapa keluarga besar. Antaranya keluarga Macapagal, Aquino, Marcos dan Ramos. Keluarga Presiden Rodrigo Duterte adalah pendatang baharu di peringkat nasional.

Selama ini, keluarga beliau lebih tertumpu di peringkat wilayah iaitu Davao. Setakat ini, anak beranak Filipina yang telah menjadi presiden ialah Diosdado Macapagal dan Gloria Macapagal Arroyo.

Myanmar pula menyaksikan pemimpin de facto mereka, Aung San Su Kyii adalah anak kepada bapa kemerdekaan negara itu, Aung San.

Keluarga politik

Singapura, Filipina dan Myanmar adalah republik yang memberi peluang pada sesiapapun untuk menjadi ketua negara. Mentaliti feudal dan monarki secara rasmi sudah tidak wujud di negara itu.

Namun dalam keadaan itupun dapat disaksikan kecenderongan munculnya keluarga politik. Mungkin kemunculan keluarga politik itu merupakan kebetulan, maknanya ia adalah sebahagian daripada kebarangkalian akan munculnya seseorang pemimpin daripada keluarga yang sama.

Atau sememangnya dalam hubungan sosial manusia, fenomena keluarga politik adalah suatu yang tidak dapat dielakkan.

Di republik Asia yang lain perkara ini juga berlaku dengan luas. Korea Utara walaupun sebuah republik, tetapi ia dipimpin tiga generasi berturut-turut iaitu Kim Il-sung, Kim Jong-il dan Kim Jong-nam. Ini menjadikan Korea Utara seperti monarki. Mungkin sistem komunis dan autoritariannya menjadikannya demikian.

Tetapi negara republik demokrasi Asia yang lain juga menyaksikan fenomena sama walaupun pemimpin terpaksa melalui proses pilihan raya.

India juga mempunyai pemimpin tiga generasi dari satu keluarga iaitu Perdana Menteri Jawaharlal Nehru, Indira Gandhi dan Rajiv Gandhi. Pakistan juga menyaksikan anak beranak Presiden Ali Bhutto dan Perdana Menteri Benazir Bhutto.

Di Bangladesh, Perdana Menteri Sheikh Hasina Wazed adalah anak kepada presiden pertama negara itu, Sheikh Mujibur Rahman. Di Korea Selatan, 2 presiden anak beranak ialah Presiden Park Chung Hee dan anaknya Park Geun-hye yang baru-baru ini tersingkir.

Di Syria, presiden anak beranak ialah Hafez Assad dan penggantinya, Bashar Assad.

Tetapi keluarga politik ini bukan saja berlaku di negara-negara membangun. Amerika Syarikat menyaksikan dua presiden anak-anak beranak iaitu Presiden George W Bush dan Presiden George HW Bush.

Realiti Malaysia

Di Malaysia, keluarga politik juga merupakan realiti. Setakat ini Perdana Menteri anak beranak ialah Tun Abdul Razak Hussein dan Datuk Seri Najib Razak.

Sementara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein adalah anak kepada Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn. Beliau pula adalah anak kepada presiden pertama Umno, Datuk Onn Jaafar.

Di pihak pembangkang, pemimpin parti anak beranak ialah Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. PKR mempunyai Datuk Seri Anwar Ibrahim, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah.

PPBM (PPBM) ada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir. AMANAH mempunyai anak Presiden PAS dahulu, Datuk Dr Mujahid Yusof, anak Yusof Rawa dan Faiz Fadzil, anak Datuk Fadzil Nor.

Itu di peringkat atas. Di peringkat tengah dan bawah banyak lagi keluarga politik yang antaranya mendominasi bahagian masing-masing untuk beberapa generasi.

Evolusi monarki

Sepanjang sejarah manusia, keluarga-politik melahirkan para pemimpin. Itu sebabnya dari segi semulajadinya muncul sistem monarki.

Pemerintahan zaman dahulu, negara diperintah oleh sesebuah keluarga yang bergantian secara turun-temurun. Kemudian ia berkembang menjadi sistem monarki berperlembagaan. Iaitu monarki hanya pada peringkat raja yang menjadi ketua negara tanpa kuasa eksekutif. Ketua kerajaan disandang oleh perdana menteri.

Walaupun pergantian raja masih bersifat turun-temurun tetapi jawatan perdana menteri dipilih secara demokrasi.

Ada negara membuang terus sistem monarki. Mereka mengambil sistem republik. Ada yang menjadikan presiden sebagai ketua negara yang memiliki kuasa eksekutif. Ada pula yang memisahkan peranan Presiden dan Perdana Menteri, walaupun kedua jawatan itu dipilih secara demokratik.

Kisah rumah

Di Singapura, presidennya adalah ketua negara tetapi ketua eksekutif dipegang oleh perdana menteri. Bermula daripada kemerdekaannya pada tahun 1963, ia dipimpin oleh Lee Kuan Yew.

Walaupun tidak menjadi Perdana Menteri, beliau terus mendominasi kerajaan Singapura sebagai menteri kanan. Apabila anaknya, Lee Hsien Loong menjadi Perdana Menteri, beliau beralih jawatan untuk menjadi menteri mentor sehinggalah tahun 2011, 4 tahun sebelum beliau meninggal dunia.

Apa yang menghairankan ialah walaupun amat mendominasi Singapura dan memilih anaknya jadi perdana menteri, tetapi Kuan Yew tidak mahu rumah pusakanya menjadi muzium peringatan atau tempat memuja beliau.

Sementara adik-adik Hsien Loong pula menuduh abanya mahu menggunakan rumah itu bagi kepentingan politiknya. Sedangkan menubuhkan memorial pemimpin adalah amalan biasa di seluruh dunia.

Adik-adik Hsien Loong iaitu Hsien Yang dan Wei Ling menyebut tentang nilai bapanya. Adakah menolak pemujaan pemimpin masa lalu merupakan sebahagian daripada nilainya?

Atau di penghujung hayatnya, Kuan Yew berasakan bahawa keluarga politik tidak baik bagi sesebuah negara?

Kuan Yew tidak menyebut mengenai keluarga politik. Beliau cuma tidak suka pelawat mengunjung rumahnya ketika beliau sudah tidak ada lagi.

Tetapi Hsien Loong menafikan bahawa beliau menyediakan anaknya untuk kerjaya politik. Beliau hanya menegaskan bahawa kerajaan mempunyai hak untuk menentukan nasib sesebuah bangunan, di sini dimaksudkan ialah rumah pusaka bapanya.

>> Komentar bebas Zin Mahmud, bekas Pengarang Kanan Kumpulan Utusan I 21 Jun 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *