Kerajaan Pulau Pinang sumbang lebih 15 juta kepada guru agama sejak 2008

GEOGETOWN: Sejak menerajui kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang pada tahun 2008 sehinggalah 2016, sejumlah RM15.55 juta telah disumbangkan kepada guru-guru agama.

Malah apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan tidak pernah dilaksanakan oleh kerajaan BN yang memerintah sebelum mereka kalah dan menjadi pembangkang sejak 2008 lagi.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, bagi menghargai sumbangan guru-guru tersebut sekali lagi pada 20 Jun ini lebih dari dua ribu guru-guru agama tersebut akan menikmati sumbangan yang sama daripada kerajaan negeri.

“Sebagai menghargai sumbangan dan tanda penghargaan kerajaan negeri serta mengambil kira kos inflasi dan peningkatan kos hidup yang begitu ketara, bayaran bantuan khas kepada 1527 orang guru KAFA akan dibayar pada 20 Jun 2017.

“Selain itu seramai 13 orang penyelia KAFA serta 247 orang guru Sekolah Rendah Agama Rakyat (SAR) akan turut menikmati sumbangan yang akan diberikan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

“Sejumlah 207 orang guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta 202 guru Maahad Tahfiz akan menerima peruntukan yang sama,” jelasnya.

Ketua Menteri bersama sama dengan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa meraikan majlis berbuka puasa di Masjid Melayu Lebuh Acheh kelmarin 1

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan juga berkata, selain itu seramai 28 orang guru Sekolah Pondok dan 31 orang guru tadika Islam atau TADIS akan turut menerima sumbangan yang telah disediakan oleh kerajaan negeri.

Tegasnya lagi, jumlah keseluruhan yang dibayar oleh kerajaan negeri adalah sebanyak RM650,400.

Jumlah ini juga ujarnya, merupakan tambahan kepada bantuan khas kewangan berjumlah RM15.55 juta yang telah diberikan kepada guru-guru agama yang terlibat sejak memerintah negeri ini pada tahun 2008.

“Bantuan khas ini adalah bagi membantu semua guru agama terlibat bagi meringankan beban mereka dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

“Sumbangan yang mampu diberikan ini adalah hasil dari pemerintahan kerajaan negeri yang cekap dan telus di samping tata kelola yang baik dan bersih.

“Ianya terbukti apabila kerajaan negeri berjaya mencatat lebihan belanjawan setiap tahun yang kini terkumpul sebanyak RM578 juta dalam tempoh lapan tahun pentadbiran,” tambahnya lagi.

Namun begitu katanya, jika dibandingkan dengan tempoh pemerintahan BN di Pulau Pinang sepanjang 50 tahun dahulu mereka hanya mampu untuk mencatat lebihan sebanyak RM373 juta sahaja.

Sehubungan itu tegasnya, sistem pentadbiran yang bersih tanpa rasuah sejak mengambil tampuk pemerintahan kerajaan negeri membolehkan semua kejayaan yang telah dicapai dikongsi bersama rakyat termasuklah guru-guru sekolah agama yang ada dalam negeri ini.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *