Sekretariat Pakatan Harapan Kelantan dibentuk, Husam penasihat, pengerusi digilirkan

KOTA BHARU: Mesyuarat pimpinan empat parti dalam Pakatan Harapan peringkat negeri Kelantan malam 14 Jun lalu memutuskan untuk membentuk satu sekretariat tetap dengan Datuk Husam Musa sebagai penasihat mereka.

Pengerusi AMANAH Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, mesyuarat bersetuju menetapkan perjumpaan pimpinan Pakatan Harapan peringkat negeri itu dibuat secara bulanan, lapor Malaysia Dateline.

“Seperti malam tadi, setiap parti diwakili oleh 5 pemimpin utama,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan pertama di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Kota Bharu.

Mesyuarat malam tersebut juga kata Wan Rahim memutuskan untuk melantik Adun Salor, Datuk Husam Musa sebagai Penasihat Pakatan Harapan Kelantan.

“Sehingga ini kita bersetuju supaya pengerusi mesyuarat ini digilirkan antara parti-parti dalam Pakatan Harapan setiap kali diadakan.

“Keputusan juga dibuat untuk melantik Mohamad Soberi Shafii sebagai Ketua Urusetia Sekretariat Pakatan Harapan Kelantan,” katanya.

Bermula sekarang menurutnya, semua program-program yang disusun oleh mana-mana parti dalam Pakatan Harapan akan turut melibatkan parti-parti lain.

“Seperti beberapa program sepanjang sambutan Aidilfitri yang telah disusun bersama atau parti- parti secara bersendirian, akan mendapat kerjasama dari parti-parti rakan.

“Kita sudah mengatur satu dialog anjuran Pakatan Harapan pada hari raya ketiga pada 27 Jun dan AMANAH Nasional mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Kota Bharu pada hari raya kelima (29 Jun),” katanya.

Persetujuan juga menurut beliau telah dibuat untuk mengujudkan kerjasama di peringkat parlimen dan dun.

“Jawatankuasa penyelaras Pakatan Harapan di peringkat parllimen dan dun dengan lima wakil setiap parti komponen akan ditubuhkan di seluruh negeri Kelantan.

“Dengan penubuhan ini gerakerja semua peringkat akan dibuat secara bersama walaupun masing-masing parti diberi peluang untuk merancang program masing- masing,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *