Celcom perlu bayar ganti rugi kepada pengguna gesa Pemuda AMANAH – Shazni Munir Ithnin

Kegagalan fungsi perkhidmatan talian dan internet Celcom antara jam 7 pagi hingga jam 9.30 pagi pada 13 Jun 2017 wajar diambil pertimbangan serius.

Malah di sesetengah lokasi gangguan berlaku lebih lama hingga menyebabkan pengguna menanggung kerugian dalam tempoh tersebut.

Lebih menyedihkan, gangguan berlaku ketika waktu puncak dan syarikat berkenaan hanya melampirkan permohonan maaf satu perenggan tanpa sebarang komitmen ganti rugi.

Semakan di Twitter rasmi Celcom hingga jam 12.40 pagi hari ini mendapati seramai 2,217 orang telah mengulang tweet dan 127 orang membalas permohonan maaf yang dilampirkan.

Ia tidak termasuk sekitar 3,400 individu yang memberi komen di Facebook. Ribuan kongsi dan emoticon pula jelas menggambarkan perasaan tidak puas hati pengguna.

Malangnya, jawapan yang diberikan Celcom sekadar melepaskan batuk di tangga. Menggunakan autoreply mungkin.

Demi memenuhi tanggungjawab sosial, Pemuda AMANAH menuntut Celcom membayar ganti rugi dalam bentuk data internet tambahan (minimum) sebanyak 3GB serta talian dan kemudahan SMS percuma ke semua rangkaian syarikat telekomunikasi selama sehari.

Bagi pengguna pascabayar, rebat sebanyak 10 peratus harus diberikan untuk bil bulan ini, selari dengan sikap Celcom sendiri yang cukup berkira sekiranya pengguna lambat menjelaskan bayaran bulanan.

Seluruh cadangan ini kami ambil langsung daripada respon di Twitter yang menerima jawapan acuh tidak acuh daripada Celcom.

Sebagai sebuah syarikat telekomunikasi besar, Celcom sewajarnya bersikap lebih responsif. Tanpa berdalih, syarikat harus mengambil tanggungjawab penuh atas kerugian ini.

Lebih penting, usah lagi selesa berlindung di balik permohonan maaf.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional
14 Jun 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *