Tambang bas naik 10 peratus, satu lagi bebanan rakyat hadapi Syawal – Sany Hamzan

Satu demi satu kenaikan kos telah berlaku khususnya ketika menyambut ketibaan Ramadan dan menjelang perayaan Syawal tidak lama lagi. Setelah pelbagai harga barang tidak lagi mampu dikawal kenaikannya, kini harga kos pengangkutan awam pula akan naik.

Presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali mengumumkan kadar tambang bas ekspres mengalami kenaikan sebanyak 10 peratus berbanding harga biasa bagi perjalanan di seluruh negara bermula dari 22 Jun hingga 2 Julai ini.

Kenaikan ini difahamkan mendapat persetujuan dan ketetapan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Kami melahirkan rasa dukacita terhadap kenaikan yang sangat tinggi ini dan ia sudah pasti akan menambahkan lagi bebanan kepada pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah yang ingin pulang berhari raya di kampung halaman.

Kelompok ini sudah pun terbeban dengan kos sedia ada, dan kenaikan ini sudah pasti disambut dengan perasaan yang sungguh hiba dan menyedihkan.

Biarpun kos tambang bas ini berlaku kenaikan, namun pengguna khususnya dari kalangan pelajar tidak ada pilihan lain sebaliknya terpaksa merelakan diri untuk ‘dijerut’ oleh kos kenaikan ini. Kami melahirkan rasa simpati terhadap mereka yang menggunakan pengangkutan awam ini.

Pemuda AMANAH Nasional kecewa apabila SPAD gagal memainkan peranannya untuk mengawal kadar tambang sebaliknya memberi ‘restu’ terhadap kenaikan ini. SPAD sewajarnya mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat sebarang keputusan dan ketetapan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.

Kerajaan perlu campur tangan dalam hal ini dengan menyekat dan membantah kenaikan tersebut yang sangat membebankan rakyat. Sekiranya kenaikan tersebut tidak lagi mampu dikawal, Pemuda AMANAH Nasional menyarankan agar kos tersebut ditanggung oleh kerajaan.

Rakyat sudahpun menanggung dan membayar cukai GST, sewajarnya kerajaan mengambil kira soal itu dengan tidak sewenang-wenangnya membenarkan apa jua kenaikan yang menambahkan lagi bebanan rakyat.
Hasil cukai itu perlu digunakan untuk menampung peningkatan kos seperti yang didakwa PMBOA, bukannya rakyat juga yang menanggung akibat!

Membina Negara Berintegriti
#PemudaBekerja

MOHD SANY HAMZAN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional
12 Jun 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *