Usir YB Kluang edar kurma di Bazar Ramadan burukkan imej Islam – Aminolhuda Hassan

Saya mengikuti rapat keadaan yang berlaku di Bazar Ramadhan Kluang semalam apabila sahabat saya, Ahli Parlimen Kluang, YB Liew Chin Tong bersama-sama Ahli Dewan Negeri Mengkibol, YB Tan Hong Pin dan beberapa ahli jawatankuasa Pusat Khidmat Wakil Rakyat Kluang yang diketuai oleh Saudara Sheikh Omar telah dihalang dari mengedarkan sumbangan kurma kepada masyarakat Kluang yang berada di tapak bazar tersebut.

Sebagai Ahli Parlimen dan ADUN bagi kawasan tersebut, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk turun bertemu masyarakat tidak kira bangsa atau agama.

Saya dengan ini menyatakan rasa kesal atas kejadian yang berlaku semalam. Kejadian yang berlaku hampir setiap tahun dalam kawasan Kluang ini sememangnya tidak mencerminkan agama Islam yang menjadi Rahmat Pada Seluruh Alam.

Allah berfirman dalam Quran,

لَّا يَنۡهَٮٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَـٰتِلُوكُمۡ فِى ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَـٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡہِمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِي (٨)

Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik (dalam urusan dunia) dan berlaku adil terhadap orang-orang (kafir) yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” – (Al-Mumtahanah :8).

Dari Jabir bin Samurah radiyallahu ‘anhu; Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

” إِنَّ أَحْسَنَ النَّاسِ إِسْلَامًا، أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا ” [مسند أحمد: صحيح]

Sesungguhnya orang yang paling baik keislamannya adalah yang paling baik akhlaknya. – [Musnad Ahmad: Sahih]

Justeru itu, dengan berbekalkan apa yang diajar di dalam Al-Quran dan hadith Rasulullah saw di bulan yang penuh keberkatan, apatah lagi dengan semangat Bangsa Johor yang diimpikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Amanah Negeri Johor mengutuk sekeras-kerasnya tindakan samseng yang berlaku di Bazar Ramadhan Kluang semalam.

Amanah Negeri Johor sentiasa komited untuk menerapkan suasana yang harmoni dalam masyarakat tidak kira bangsa dan agama.

HJ AMINOLHUDA HJ HASSAN
Pengerusi
AMANAH Negeri Johor
Merangkap ADUN Parit Yaani
11 Jun 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *