Cukai pelancongan bebankan rakyat, musnahkan daya saing Malaysia – Chang Lih Kang

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan bahawa kerajaan akan melaksanakan cukai pelancongan bermula 1 Julai depan dengan kadar yang dikenakan antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan semalaman di hotel.

Cukai itu bakal turut membabitkan sesiapa sahaja yang menginap di mana-mana premis hotel di Malaysia, termasuk rakyat tempatan dan mereka yang melakukan perjalanan bagi tujuan perniagaan dan bukan santai. Ia dilaksanakan selepas Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan diluluskan di Parlimen pada sidang yang lalu.

1. Bagi saya, kerajaan tidak sepatutnya mengenakan cukai berkali ganda kepada rakyat. Mereka sudah terbeban dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang menyaksikan pelbagai jenis barangan meningkat secara mendadak. Dengan pelaksanaan cukai pelancongan ini, sudah tentu ia memberi kesan yang mendalam kepada rakyat terutama dalam kos sara hidup yang semakin tinggi. Ini sangat membebankan.
Malah, penguatkuasaan cukai pelancongan bermula RM2.50 ke atas setiap bilik bagi setiap malam itu bakal mengurangkan daya saing Malaysia dalam tempoh jangka masa panjang. Cukai tersebut diperkenalkan Malaysia pada waktu tidak sesuai kerana industri pelancongan negara sedang meningkat manakala inflasi berada pada paras tinggi.

2. Ini merupakan tindakan terdesak kerajaan Umno BN mengutip duit rakyat. Kalau boleh semua benda hendak dicukaikan dan sasaran sebenar kerajaan adalah kepada rakyat Malaysia atas nama pendapatan negara.
Ia dapat dibuktikan apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya memungut hasil kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM41.2 bilion tahun 2016 berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak RM39 bilion pada tahun sebelumnya.
Selagi mana dinamakan pendapatan negara, selagi itu kerajaan akan terus mengenakan pelbagai cukai kepada rakyat di negara ini, tidak kira golongan miskin, pertengahan dan sebagainya.

3. Sepatutnya hanya pelancong asing dicukai dan warganegara dikecualikan. Tidak mustahil selepas ini warganegara Malaysia terpaksa membawa khemah sendiri untuk melancong di negara sendiri.

4. Hotel-hotel sekarang sudah mengalami penurunan jumlah penginapan yang amat ketara, kini ditambah cukai berkenaan maknanya nak membunuh industri perhotelan dan bukannya menambah. Yang ditambah adalah kantung menteri Unmno BN sahaja.

Selain itu, cukai hotel ini juga bakal menghalang pelancong asing tinggal lebih lama dan berbelanja lebih ketika mereka bercuti di Malaysia.

YB CHANG LIH KANG
ADUN Teja
Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN
Parti KEADILAN Rakyat
11 Jun 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *