Mudahkan proses beri warganegara kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kulai, Johor, Teo Nie Ching menyeru kerajaan memudahkan proses pemberian kewarganegaraan kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan.

Beliau berkata menurut jawapan bertulis kementerian dalam negeri di Parlimen, antara 2012 dan Januari 2017 seramai 15,394 kanak-kanak dilahirkan di Malaysia tidak diberi kerakyatan walaupun bapa mereka seorang warganegara.

“Ini boleh diterjemahkan sebagai 8 kanak-kanak dilahirkan tanpa kewarganegaraan setiap hari,” kata Teo dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tahun lepas mendedahkan seramai 290,437 kanak-kanak tanpa kerakyatan berusia bawah 18.

Kata Teo, Bab II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan menyatakan mana-mana kelahiran dalam Persekutuan di mana salah seorang ibu bapa seorang warganegara atau penduduk tetap ketika kelahiran itu adalah warganegara.

“Jadi jelas, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mnenyatakan perkahwinan ibu bapa si anak perlu didaftarkan secara sah untuk melayakkan anak itu diberi kerakyatan.

“Kerajaan mesti sedar kanak-kanak tanpa kerakyatan melalui pelbagai kesusahan dan kepayahan,” kata Teo.

Beliau merujuk kes Tan Yao Chun, 8, yang tidak dapat ke sekolah awal tahun ini kerana tidak dianggap warganegara.

Walaupun kanak-kanak itu akhirnya dapat bersekolah rendah selepas kesusahannya dilaporkan media, Tan kerugian setahun persekolahan kerana kekurangan dalam sistem, kata Teo.

Beliau turut merujuk kes Pang Jun Hao, 14, yang tiba-tiba dimaklumkan beliau tidak boleh memulakan Tingkatan 2 kerana masalah dengan kewarganegaraannya.

“Walaupun kanak-kanak itu diterima untuk bersekolah, mereka tidak dapat menikmati pendidikan percuma seperti kanak-kanak Malaysia lain kerana mereka tidak layak menerima Skim Pinjaman Buku Teks,” katanya.

“Hanya sebilangan berpeluang ke universiti awam, kerana mereka perlu bayar mengikut kadar pelajar asing dan tidak boleh memohon pinjaman pendidikan PTPTN,” tambahnya.

Teo berkata kanak-kanak tanpa kerakyataan menderita kerana kerajaan mengenakan caj perubatan penuh ke atas bukan warganegara. Beliau berkata kanak-kanak tanpa kerakyatan tidak boleh memohon pasport dan lesen memandu.

“Dengan semua cabaran itu, kanak-kanak ini menghadapi kesukaran untuk berjaya dalam hidup dan sukar mendapatkan pekerjaan yang baik.”

Beliau berkata kanak-kanak itu patut menjadi mangsa kecuaian dan kesilapan ibu bapa mereka, dan mengulangi seruan kepada kerajaan supaya memudahkan proses pemberitan kewarganegaraan kepada mereka.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *