Bersih 2.0 bukan pertubuhan haram, SPR diingatkan keputusan mahkamah untuk bekerjasama

KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 menegaskan mereka entiti yang sah dan layak bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seperti yang diputuskan mahkamah.

Mereka berkata demikian selepas Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah menolak hasrat Bersih 2.0 untuk bekerjasama kerana mereka tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), sebaliknya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Kami dengan ini mengingatkan Pengerusi SPR pada 2012, mahkamah telah memutuskan Bersih 2.0 adalah entiti sah yang juga disokong oleh NGO,” kata Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataannya.

Pada 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan pengisytiharaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengisytiharkan Bersih 2.0 pertubuhan haram.

Hakim Datuk Rohana Yusof membenarkan petisyen 14 anggota jawatankuasa pemandu Bersih 2.0, termasuk daripada pengerusi ketika itu, Datuk S Ambiga, yang mengatakan Bersih 2.0 merupakan gabungan badan berdaftar.

Oleh itu, Bersih 2.0 berkata mereka masih sedia bertemu Hashim “pada bila-bila masa dan hari” bagi membincangkan agenda pembaharuan pilihan raya dan bukan sekadar isu persempadanan semula sahaja.

“Jika berminat, SPR boleh bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk NGO, agensi kerajaan, Parlimen dan media untuk melaksanakan pembaharuan dalam masa 6 bulan akan datang,” katanya.

Sebelum ini, Hashim berkata SPR kini bekerjasama dengan beberapa NGO dan sudah membuka permohonan untuk mengambil sukarelawan bagi memantau proses pengundian.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *