Satira atau tidak, provokasi keganasan tetap bahaya menular, kata pakar

KUALA LUMPUR: Bahan satira yang menyeru ke arah keganasan walaupun secara berjenaka tidak wajar diterbitkan, kata seorang pakar anti-pengganas.

Ahmad El-Muhammady memberitahu FMT, penulisan sebegitu bukan sahaja bahaya malah boleh dianggap ancaman walaupun penulis cuba menjadi sinis atau bersatira.

“Kita tidak boleh benarkan idea ganas menular.

“Mungkin ada yang melakukan apa yang dicadangkan penulisan itu,” katanya, dan menambah kitaran keganasan hanya perlukan seseorang untuk mencetuskannya.

Ahmad menjawab “surat terbuka” yang disiarkan di laman sebuah penerbit buku berpengkalan di Bangi, Selangor, di mana penulis menggesa sekumpulan agamawan pro-kerajaan menggalakkan pembunuhan pengikut Syiah di Malaysia.

Surat itu yang ditulis Jefry Musa yang menyifatkan dirinya “ahli Sunni yang dihormati”, ditujukan kepada Ilmuan Malaysia (ILMU), sekumpulan agamawan yang digerakkan Datuk Fathul Bari Mat Jahya, pemimpin Pemuda Umno yang condong terhadap aliran Wahabi didukung Arab Saudi dan kerap membangkitkan isu “bahaya Syiah” di Malaysia.

Sambil memuji Arab Saudi atas pembelian senjata bernilai berbilion dolar daripada Arab Saudi, beliau berkata ia selangkah ke arah menghapuskan pengikut Syiah melalui serangan seperti IS.

“Lebih mudah jika kita membunuh penganut Syiah ini daripada membuang masa berbincang dengan puak yang suka berpura-pura (taqiyah).”
Penerbit Thukul Cetak bagaimanapun enggan mengulas, sebaliknya menurunkan surat itu beberapa jam selepas laporan FMT.

Pada hari sama, Jefry memohon maaf, dan menjelaskan surat itu sekadar
mengingatkan budaya kepelbagaian kepercayaan di alam Melayu yang menurutnya satu ketika dulu pernah toleran terhadap ulama Syiah.
Bagi Ahmad, penulisan itu masih bersifat provokasi.

“Ia bermula dengan idea atau seseorang yang kemudiannya mewujudkan kesan riak.

“Seperti Arab Spring dan pengeboman Manchester baru-baru ini… ia bermula dengan seorang individu dan kemudian menghasilkan kitaran ketakutan dan keganasan,” katanya.

‘Arab Spring’ merujuk kepada kebangkitan rakyat di beberapa negara Arab, dan bermula di Tunisia pada 2010 selepas peristiwa seorang penjaja bernama Sidi Bouzid membakar dirinya sebagai membantah gangguan polis dan pihak berkuasa yang korup.

Ahmad berkata bahan sastera bertema keganasan boleh membawa kepada ketegangan antara mazhab.

Katanya, Jefry mungkin kecewa kegagalan kerajaan mengekang penyebaran mazhab Syiah di negara ini.

“Saya fikir penulis mahu membayangkan kerajaan kita tidak memberikan usaha secukupnya untuk mengekang ajaran seperti itu,” kata Ahmad, yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Pihak berkuasa agama negara ini menganggap mazhab kedua terbesar Islam itu sebagai sesat, dan kerap menangkap pengikutnya.

Seorang penganut Syiah merasakan karya satira Jefry itu “tidak kelakar”.
Zahra (bukan nama sebenar) memberitahu FMT seseorang yang cenderung ke arah IS cukup jahil untuk menganggapnya suatu seruan mengangkat senjata dan melancarkan serangan.

“Mana ada orang melawak mengenai pembunuhan,” tambahnya.

Ahmad yang turut menasihati polis dalam program pemulihan tahanan pengganas, mendakwa sekiranya surat itu diambil serius oleh pengikut Syiah di Malaysia, kumpulan itu tidak teragak-agak untuk bertindak.

“Katakan seorang pengikut Sunnah mengambil surat itu dengan serius dan melaksanakan idea itu. Kumpulan yang ditentang tidak akan teragak-agak untuk membalasnya,” katanya, dan menambah konflik antara 2 aliran itu tiada penghujungnya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *