Janji BN dicapati 9 tahun berlalu, bayang Hospital Seri Iskandar pun tak nampak – Tarmizi Mohd Jam

Ahli Parlimen Parit, Datuk Zaim Abu Hassan didesak menyatakan status terkini pembinaan Hospital Seri Iskandar, hospital baharu bagi Daerah Perak Tengah bagi menggantikan Hospital Desa Changkat Melintang yang sudah tidak mampu menampung keperluan penduduk.

Rata-rata penduduk di sini tertanya-tanya perkembangan muktahir berkenaan dengan projek yang telah dilulus di atas tanah seluas 12.1 hektar di bekas tapak Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Seri Iskandar yang menelan kos RM150 juta dan bakal memuatkan 150 katil.

Menurut laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 7 September 2016, Datuk Zaim memberitahu, majlis pecah tanah dan pembinaannya bakal dimulakan Februari tahun 2017, kontraktor juga sudah dilantik dan beliau pertegaskan perkara ini pada Program Sehari Bersama Warga Emas anjuran Klinik Kesihatan Bota Kiri bersama Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bota Kiri di Akademi Latihan Kemas.

Datuk Zaim juga telah memugar perkara ini sebagai bahan kempen pilihanraya BN kepada pemberita ketika ditemui media selepas proses penamaan calon di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah, Seri Iskandar 2008 (PRU12) lagi seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia yang turut dihadiri sama dua lagi calon BN, iaitu Nasarudin Hashim (Dun Bota) dan Mohd Nizar Zakaria (Parlimen Parit).

Sebelum itu, Utusan Online bertarikh 5 Oktober 2014 pula melaporkan MB Perak, Dr Zamry Abd Kadir mahu Hospital Seri Iskandar dibina secepat mungkin pada tahun 2015, kata beliau pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri Perak.

Namun, sehingga hari ini 31 Mei 2017, bayang hospital baharu berkenaan yang akan menjadi hospital daerah manakala Hospital Changkat Melintang menjadi klinik kesihatan belum dapat dilihat rataan tapak projek apatah lagi rangka bangunan, walaupun Datuk Zaim yakin projek ini dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

“Penduduk tidak perlu khuatir kerana pembinaan hospital ini akan tetap berjalan dan pada Februari tahun depan (2017) kerja-kerja pembinaan akan dimulakan.” – Kenyataan Datuk Zaim dalam Sinar Harian 7 September 2016.

Sehubungan itu AMANAH Parlimen Parit mendesak Datuk Zaim memperjelaskan kedudukan sebenar projek Hospital Seri Iskandar ini, yang telah menjadi bahan kempen BN dalam PRU12, PRU13 dan sudah tentu ia akan diputar lagi dalam PRU14 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

AMANAH DEMI NEGARA
Amanah. Progresif. Peduli.

TARMIZI MOHD JAM
Timbalan Pengerusi AMANAH
Wilayah Persekutuan
Penyelaras AMANAH
Parlimen P.069 Parit,
31 Mei 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *