Jangan keluar perjuangan, kembali ke pangkuan Deklarasi Rakyat – Khairuddin Abu Hassan

Saya ingin merayu kepada sesiapa saja samada bekas pemimpin ataupun ahli parti-parti yang keluar dari pertubuhan politik agar jangan sama sekali tinggalkan saf perjuangan rakyat Malaysia.

Pintu Deklarasi Rakyat (DR) terbuka luas untuk semua bekas-bekas pejuang serta ahli-ahli pengasas untuk kembali ke pangkuan DR bagi meneruskan perjuangan murni ini kearah menumbangkan kerajaan kleptokrasi yang sedang dipimpin oleh perdana menteri paling korup melalui proses pilihanraya ke 14 nanti.

Kepada semua para sahabat yang keluar dan meninggalkan mana-mana parti politik di semua negeri-negeri di negara kita mutakhir ini; tolonglah jangan sama sekali pulang ke pangkuan umno atau BN!

Sesungguhnya, umno dan BN telah menghancurkan amanah rakyat yang diberikan kepada mereka pada PRU13 dahulu.

Kita masih ada platform Deklarasi Rakyat yang ‘non partisan’ untuk meneruskan wadah perjuangan bagi menegakkan keadilan, lawan rasuah secara habis-habisan, memperbetulkan institusi-institusi kerajaan yang dicengkam kuat oleh kepimpinan kleptokrasi seterusnya selamatkan malaysia demi kesejahteraan keseluruhan rakyat.

Insya-Allah dalam masa terdekat ini saya serta rakan-rakan yang lain akan susun semula struktur Deklarasi Rakyat di setiap negeri-negeri di seluruh tanahair.

Malahan adalah tidak keterlaluan sekiranya saya katakan platform Deklarasi Rakyat lebih selesa pada ramai rakyat atas pagar di peringkat akar umbi kerana badan ini bukan berstruktur politik.

Program-program di peringkat akar umbi juga akan disusun atur secara sistematik, berterusan serta menyeluruh dalam sedikit masa lagi.

Sesiapa saja samada rakyat secara menyeluruh atau mana-mana anggota politik pun boleh sama-sama sumbangkan tenaga untuk menjayakan semula teras perjuangan asal Deklarasi Rakyat.

Perjuangan Deklarasi Rakyat merupakan hak milik rakyat malaysia tanpa kira kaum, bangsa ataupun agama yang mesti diteruskan sehingga kerajaan kleptokrasi tumbang.

Kesinambungan perjuangan Deklarasi Rakyat amat penting dan tetap relevan.
Halatuju perjuangan Deklarasi Rakyat hanyalah semata-mata untuk menukarkan kerajaan yang bersih, cekap dan amanah demi untuk selamatkan tanahair kita yang tercinta ini.

Amatlah diharapkan kepada semua pejuang dan penggiat Deklarasi Rakyat di seluruh negara yang tidak mahu bergerak di bawah platform politik untuk tampil semula ke pangkuan DR bagi kita mencapai matlamat bersama untuk selamatkan Malaysia dari kepimpinan kerajaan kleptokrasi.

Najib tun razak telah merosakkan amalan demokrasi, sistem ekonomi dan politik serta mencengkam kebebasan fungsi institusi-institusi kerajaan.

Deklarasi Rakyat mempunyai semangat juang yang tinggi tanpa bersandarkan kepada sebarang bentuk agenda kepentingan peribadi bagi menyelamatkan negara kita dari sebarang bentuk kebinasaan secara lebih parah.

DEKLARASI RAKYAT DARI RAKYAT SERTA UNTUK RAKYAT!

KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Koordinator
Deklarasi Rakyat
30 Mei 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *