Dari Riyadh ke Sicily, ke mana Trump dan Amerika Syarakat membawa dunia?

Minggu lalu, lawatan Donald Trump ke 5 destinasi menampakkan ke mana Amerika Syarikat sedang membawa dunia dalam masa 4 tahun ini, iaitu kalaulah presiden AS itu dapat selamat daripada sebarang usaha pemecatan beliau.

Namun begitu, Trump yang mempunyai reputasi sering membuat kejutan dan mampu mengolah persepsi terhadap dirinya, dengan memiliki caranya tersendiri terus dapat mengekalkan sokongan daripada pengundi tegarnya, dan selanjutnya menguasai Parti Republikan. Beliau boleh terus memenangi penggal kedua untuk memimpin Amerika, dan dunia 4 tahun lagi.

Lawatan pertama beliau ke luar negara bermula dengan Riyadh, kemudian Baitulmakdis, diikuti pula di Rom, selanjutnya ke Brussels dan akhir sekali di Sicily.

Riyadh adalah ibu negara Arab Saudi. Israel pula mengisytiharkan Baitulmakdis sebagai ibu negaranya. Mereka yang tidak mengiktirafnya menganggap Tel Aviv sebagai ibu negara Israel.

Palestin pun menganggap Baitulmakdis sebagai bakal ibu negaranya apabila merdeka kelak.

Trump menemui Perdana Menteri Israel, Banjamin Netanyahu tetapi mengunjungi Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Baitulaham.

Rom adalah ibu negara Itali tetapi di dalamnya terletak Vatican City, sebuah negara berdaulat di mana pemimpinnya, Pope adalah ketua agama seluruh penganut Kristian Katholik di seluruh dunia.

Brussels pula adalah ibu negara Belgium tetapi ia juga dijadikan bandar pentadbiran bagi Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Sicily ialah sebuah rantau autonomi Itali. Salah sebuah wilayahnya ialah Messina. Ibu wilayah itu ialah Taurmina. Di sinilah Trump menghadiri sidang kemuncak negara G7.

Selalunya apabila seseorang baru menjadi ketua negara atau ketua kerajaan, mereka akan mengunjungi negara jirannya bagi menegaskan persahabatan dan mengukuhkan hubungan sebelum pergi ke tempat jauh.

Maka secara tradisinya, seseorang presiden AS yang baharu akan melawat Kanada dan Mexico sebelum ke tempat lain. Lebih-lebih lagi AS, Kanada dan Mexico adalah anggota Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta).

Tetapi Trump ada masalah dengan Nafta kerana beliau berpendapat AS dirugikan oleh Kanada dan Mexico.

Terhadap Mexico, Trump ada masalah kerana beliau hendak membina tembok sepanjang sempadan 2 negara dan mahu Mexico membayarnya. Sudah tentu Mexico enggan.

Kanada adalah negara penting AS kerana ia juga merupakan sekutu dalam Nato. Tetapi Perdana Menteri Justin Trudeau sudah pun mengunjungi Trump di Washington.

Maka negara asing pertama yang Trump lawati ialah Arab Saudi. Selepas Saudi, beliau melawat Israel. Ternyata kedua-dua negara ini adalah sekutu utama Amerika di Timur Tengah. Trump hanya menegaskannya. Beliau kemudian mengunjungi Vatican City.

Dengan satu perjalanan, beliau menegaskan hubungan penting Amerika dengan 3 agama utama dunia iaitu Islam, Yahudi dan Kristian. Mazhab yang diwakili oleh Arab Saudi ialah Sunni. Sementara majoriti Yahudi di Israel ialah sekular.

Vatican pula ialah Kristian mazhab Katholik. Agama datuk nenek Trump ialah Kristian Protestan daripada aliran Lutheran. Walaupun beliau dikenali sebagai tidak mempedulikan agama, tetapi antara penyokong kuat beliau adalah golongan Kristian Protestan daripada kalangan Evangelical.

Di Riyadh, Trump menyertai acara kebudayaan dalam bentuk tarian berpedang. Sementara di Baitulmakdis, beliau menyertai acara agama Yahudi di Tembok Ratapan.

Anak perempuannya yang memainkan peranan penting dalam pentadbiran Trump iaitu Ivanka Trump memeluk agama Yahudi setelah berkahwin dengan Jared Kushner, juga seorang beragama Yahudi.

Ketika berada di Vatican, dunia dimaklumkan bahawa Wanita Pertama Amerika, Melania Trump yang berasal dari Slovenia adalah seorang penganut Kristian mazhab Katholik.

Pertemuan kemuncak 2 hala, atau mesyuarat dengan ketua kerajaan negara tuan rumah berlaku di Riyadh, Baitulmakdis, Baitulaham dan Vatican.

Di Riyadh, Trump bertemu dengan Raja Arab Saudi, Salman Abdulaziz; di Baitulmakdis, dengan Presiden Reuven Rivlin dan Perdana Menteri Netanyahu; di Baitulaham, dengan Mahmoud Abbas dan di Vatican, dengan Pope Francis.

Tetapi pada keseluruhan lawatannya itu, Trump menghadiri 4 persidangan kemuncak.

Pertama, Sidang Kemuncak Amerika dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh yang dianggotai oleh Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman.

Sidang kedua ialah sidang kemuncak Amerika dengan negara Islam, juga di Riyadh. Sebanyak 54 negara Islam menghantar perwakilan dengan 33 daripadanya diwakili oleh ketua kerajaannya sendiri. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut hadir.

Dua negara Islam yang tidak ada dalam persidangan itu ialah Iran dan Syria.

Sidang kemuncak yang seterusnya Trump hadir ialah Sidang Kemuncak Nato yang diadakan di Brussels dengan 29 negara hadir. Ini diikuti dengan Sidang Kemuncak G-7 di Taurmina.

Negara G7 ialah Amerika, Britain, Perancis, Jerman, Jepun, Itali dan Kanada. EU turut ada dalam G7.

Maka dengan lawatan ini, Amerika menegaskan rupa bentuk dasar luarnya bagi meliputi Timur Tengah dan Eropah. Umumnya dasar luar Amerika tidak berubah walaupun Trump membawa pendekatan berbeza.

Dasar luar Amerika sudah ditetapkan oleh Jabatan Negara dan perbezaan antara Parti Demokratik dan Republikan hanya dalam bentuk pendekatan.

Begitu juga dengan presiden yang bertukar ganti dan mungkin mempunyai personaliti tersendiri lebih-lebih lagi seperti Trump tetapi asasnya fahaman geopolitik mereka tetap serupa.

Sejak daripada kempen pilihan raya presiden dahulu, Trump meletakkan keutamaan bagi pembanterasan keganasan. Tetapi dalam hal ini beliau mengkritik Presiden Barack Obama yang dianggap berlembut dengan Iran.

Baginya Iran adalah penganjur keganasan. Fakta bahawa Iran memainkan peranan besar melawan IS di Iraq dan Syria tidak ditimbulkan..

Beberapa minggu lalu, Trump mengizinkan serangan bom ke atas Syria dan menggugurkan ibu segala bom ke atas Afghanistan. Sasaran di Syria ialah di kawasan yang dikuasai oleh kerajaan Damsyik pimpinan Presiden Bashar Assad.

Sementara sasarannya di Afghanistan ialah kawasan yang dikuasai oleh kumpulan yang bersekutu dengan IS.

Beberapa hari sebelum lawatan itu pula, Iran mengadakan pilihan raya presidennya yang menyaksikan Hassan Rouhani berjaya mempertahankan jawatannya. Beliau adalah tokoh yang mendokong usaha berbaik-baik dengan pihak Barat terutama Amerika.

Tetapi bagi Trump yang menyifatkan siri lawatannya itu berjaya, medan pertembungan telah ditegaskan. Amerika. Beliau menganggap Iran, Syria, Hizbullah, Hamas, IS dan Al-Qaeda sebagai musuh Amerika. Segala tindakan selanjutnya adalah mengikut pemahamannya itu.

Tetapi apa yang tidak jelas ialah mengenai sikapnya terhadap Rusia. Nato yang merupakan pakatan tentera bagi menghalang Rusia tidak mendapat perhatian sewajarnya dari Trump. Beliau lebih mengungkitkan soal negara NATO tidak cukup menyumbang biaya untuk pakatan itu.

Dalam sidang G7 juga, Rusia juga tidak mendapat perhatian sewajarnya.
Amerika pasti bertembung dengan Rusia di Syria. Tetapi bagi komuniti dasar luar Amerika, cabaran utama baginya ialah Rusia, bukannya Iran, apatah lagi Syria atau IS.

Sememangnya IS kini adalah musuh utama Amerika dan juga dunia, tetapi secara geopolitik dan jangka panjang, Rusia merupakan cabaran utamanya.

Ini dapat dilihat betapa walaupun Soviet Union sudah tumbang, kini Rusia tetap mengganggu Amerika.

Bagaimanakah Trump akan membawa dunia dalam suasana ini? Manusia hidup dalam dunia yang sentiasa tidak menentu.

>> Komentar bebas bekas Pengarang Kanan Utusan Malaysia, Zin Mahmud I 31 Mei 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *