Bila satira jadi ‘kelakar’ dan bila jadi sumbang, penulis tanggung akibat hasil karya mereka

KUALA LUMPUR: Ianya menyeru kepada pembunuhan beramai-ramai, sementara kandungannya pula terlalu mencemaskan. Siapa sangka ia cuma satira, atau sekadar jenaka.

Apabila dihubungi FMT, syarikat buku berpengkalan di Bangi, Thukul Cetak yang menerbitkan “surat terbuka” di laman webnya menyeru penghapusan umat Islam aliran Syiah di Malaysia, pemiliknya enggan mengulas panjang dan memarahi wartawan.

Beberapa jam selepas laporan, penulisan itu diturunkan.

Bagi pembaca yang biasa dengan gaya satira, malah yang membacanya secara lewa, esei tersebut menguja persoalan yang menjadikan jenakanya sumbang, manakala penulisnya mungkin berdepan dakwaan menghasut pembunuhan atau hasutan.

Bagi Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, penulis yang cuba bersatira perlu bersedia berdepan dan menanggung akibat hasil kerja tangan mereka.

“Mereka harus faham bahawa penulisan sebegini mengundang pelbagai reaksi orang awam,” kata penulis dan penyajak berusia 82 tahun ini.

Sabtu lalu, Thukul Cetak yang antara penerbitannya ialah pelbagai judul berhaluan kiri, menyiarkan tulisan seorang bernama Jefry Musa, menggesa sebuah badan agamawan pro-kerajaan menggalakkan pembunuhan pengikut Syiah di negara ini.

Surat ditujukan kepada ahli Pemuda Umno, Datuk Fathul Bari Mat Jahya yang pernah menyeru tindakan tegas terhadap penyebaran ajaran Syiah.

Di samping memuji pembelian persenjataan bernilai berbilion dolar oleh Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini, ia melihatnya sebagai langkah ke arah menghapuskan pengikut Syiah dengan menjalankan serangan seperti IS.

“Lebih mudah jika kita membunuh penganut Syiah ini daripada membuang masa berbincang dengan puak yang suka berpura-pura (taqiyah),” kata surat itu.

Tetapi tidak semua pembaca ketawa membacanya. Seorang penganut Syiah, antara sasaran “satira” itu, merasakan ianya “tidak kelakar”.

“Seseorang yang cenderung ke arah IS cukup jahil untuk menganggapnya suatu seruan mengangkat senjata dan melancarkan serangan,” kata Zahra (bukan nama sebenar) kepada FMT.

“Mana ada orang melawak mengenai pembunuhan,” tambahnya.

Pak Samad berkata penulis satira harus bertanggungjawab dengan setiap penulisan mereka, kerana ada sebab mengapa orang bersatira untuk menyuarakan pendapat.

“Orang yg bersatira ini sebenarnya menyembunyikan diri mereka sendiri… penulisan satira ini bergantung kepada siapa yang sedang bercakap dan apa prinsip mereka dalam hidup,” katanya.

Beliau berkata setiap penulis termasuk dirinya menulis dengan tujuan untuk menyampaikan pandangan mereka kepada orang ramai.

“Setiap penulis memetik pengalaman mereka sendiri dan setiap dari mereka mempunyai niat supaya orang lain tahu mengenainya.”

Semalam, penulis Jefry yang menulis surat terbuka itu mengakui kesilapannya.

“Saya tidak menyalahkan pembaca, saya juga menyokong mereka harus mengecam surat bersuara/berpendapat seperti itu,” katanya.

Beliau berkata niatnya hanya untuk mengetengahkan isu kepelbagaian ideologi dan kepercayaan yang satu masa dulu menjadi nilai masyarakat Melayu dan Nusantara.

“Sejarah menunjukkan pada awal tahun 90an, ulama yang juga mufti Johor ketika itu, Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad, menerima pemimpin agama bagi fahaman Syiah iaitu Ayatollah Sheikh Abdul-Karim Haeri Yazdi sebagai pelajarnya.

“Bukan hanya menerima sebagai pelajar, beliau juga memberi ijazah/pengiktirafan kepada Ayatollah bagi Syiah ini,” tulisnya.

“Hal ini barangkali tidak mungkin sama sekali tidak mampu dibayangkan oleh kita hari ini untuk mufti menerima perbezaan sebesar ini. Lagi jauh sebelum itu, kita baca pula sejarah tamadun awal Nusantara seperti
di Sumatera dan bahagian-bahagian Jawa yang lain.”

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *