Kanun AMANAH nasihat Dr Kamarul fokus kepada penyelidikan ilmiah usah tulis picisan menangkan BN

KUALA LUMPUR: Biro Undang-Undang (Kanun) Amanah menasihatkan pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff supaya memberi fokus kepada penyelidikan ilmiah berbanding mengeluarkan kenyataan murahan menyebelahi BN.

Timbalan Pengerusi Kanun, Wan Anwar Wan Ibrahim menyifatkan ulasan Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) UUM itu berhubung beberapa kenyataan pimpinan Amanah termasuk Kanun tersasar jauh.

“Selaku pensyarah universiti, eloklah beliau menumpukan kepada kerja-kerja akademik dan tidak menulis tulisan picisan di Facebook sahaja yang bertujuan memenangkan Barisan Nasional dan mengalahkan Pakatan Harapan.

“Dr Kamarul Yusoff telah merewang panjang berkaitan beberapa kenyataan ahli dan pimpinan Amanah (tulisan FB beliau bertarikh 24 Mei lalu). Kanun hanya berminat untuk mengulas mengenai penyataan beliau terhadap Kanun,” katanya.

Beliau mengajak Dr Kamarul merujuk kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

“Perkara 10(2)(c) Perlembagaan jelas menyatakan sekatan yang boleh dibuat oleh Parlimen termasuk Akta Pertubuhan 1966 adalah demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.

“Oleh itu, Seksyen 2A dan 13 Akta Pertubuhan 1966 hendaklah dibaca dalam konteks Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Seksyen 2A dan 13 itu tidak boleh ultra vires (bercanggah) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Atas dasar itu, maka pentafsiran kepada Seksyen 2A dan 13 mestilah konsisten dengan prinsip yang dinyatakan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Kamarul dalam komentarnya di Facebook semalam bertajuk, “Pemimpin Amanah bodoh, kuda tunggangan DAP’ antara lain menyelar Wan Anwar berkenaan peruntukan Perlembagaan.

“Bagaimana seorang peguam seperti kamu boleh menyatakan bahawa sekatan ke atas kebebasan berpersatuan hanya boleh dilakukan jika ada ancaman keselamatan ke atas Persekutuan atau ketenteraman awam sedangkan Seksyen 2A (1) dan Seksyen 13 Akta Pertubuhan terang-terang memberikan kuasa kepada Pendaftar Pertubuhan untuk membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan yang didapati melanggar syarat-syarat yang ditetapkan?” soal Dr Kamarul.

Beliau turut mencabar Wan Anwar supaya membuat laporan polis di bawah Akta Hasutan jika benar tulisannya berbentuk hasutan.

Mengulas lanjut, Wan Anwar mencabar Dr Kamarul untuk menjelaskan dengan terperinci maksud Islam sebagai agama Persekutuan apabila pensyarah pro Umno-BN itu menganggap DAP menggugat agama Islam.

“Fahaman sempitnya itu perlu diselesaikan terlebih dahulu supaya hujahan beliau tidak melencong dan tersasar.

Kanun juga melihat cabaran beliau supaya Kanun membuat laporan polis di bawah Akta Hasutan menggambarkan beliau sendiri tidak pernah membaca Akta Hasutan, apatah lagi untuk mengkaji isi kandungan Akta Hasutan.

“Kanun tegas menyatakan bahawa kami sendiri tidak bersetuju dengan Akta Hasutan itu yang banyak diguna untuk menyekat kebebasan bersuara di kalangan warganegara.

“Maka, mana mungkin Kanun pula hendak membuat laporan polis di bawah Akta Hasutan bagi menyekat kebebasan bersuara Dr Kamarul.

“Apa yang Kanun nyatakan adalah bahawa motif utama Dr Kamarul adalah untuk menjadi alat bagi menghasut orang ramai untuk membenci DAP dan Pakatan Harapan,” jelasnya.

Menurut Wan Anwar, hasutan jahat sebegitu walaupun sangat buruk tetapi tidak termasuk dalam skop Akta Hasutan.

“Tulisan beliau itu hanyalah tulisan picisan politik yang bertujuan untuk membakar api kebencian orang ramai kepada DAP dan seterusnya memenangkan Barisan Nasional,” tambahnya lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *