Sertai blok Saudi-Amerika, Najib heret Malaysia ke kancah bahaya – Mohamad Sabu

Selama ini nama Malaysia begitu harum di peringkat antarabangsa. Ia bermula apabila Allahyarham Tun Abdul Razak dengan dasar berkecuali melalui The Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN) menyebabkan pengkalan tentera asing meninggalkan malaysia termasuklah The Royal Australian Air Force (RAAF) meninggalkan Malaysia.

Malaysia kemudian menjadi sebuah negara aman dengan sikap berkecuali dan memainkan peranan di peringkat ASEAN dalam usaha perdamaian sama ada di Filipina, Thailand mahupun Aceh untuk menyelesaikan konflik.

Tun Mahathir Mohamad pula memperjuangkan Pergerakan Negara-negara Berkecuali atau NAM dan Malaysia terus harum di peringkat antarabangsa.
Selama tiga penggal saya menjadi ahli Parlimen pembangkang, ada perkara saya bangga di antaranya peranan dimainkan oleh Malaysia dalam konflik di Bosnia.

Malaysia juga begitu terkenal di peringkat OIC dan pandangan Malaysia amat dihormati. Malaysia memberi pandangan penyelesaian dalam pertikaian mana-mana negara seperti Iran-Iraq dengan perperangan lebih 8 tahun.

Namun Datuk Seri Najib Razak pula telah mengheret Malaysia kepada satu blok Saudi dan Amerika. Apa yang dibuat oleh Najib telah meletakan Malaysia sebagai sebuah negara memihak.

Maka Malaysia tidak lagi dapat memainkan peranan dalam konflik di Iraq, Syria, Yaman bahkan di Palestin sendiri kerana sikap memihak kepada Amerika dan Saudi itu. Di Asia Tenggara pula sedang berlaku perebutan kuasa perairan terutama sekali antara China dan Amerika Syarikat.

Malaysia yang telah menjadi sebuah negara memihak kepada Amreika, meletakkan negara dalam kancah tidak baik untuk memberi pandangan berkecuali. Najib telah membawa negara ke satu blok yang pada jangka panjang akan mengundang bahaya kepada Malaysia dan rakyat seluruhnya.

Oleh itu saya amat berharap agar Pakatan Harapan jika ditakdirkan dapat mengambil alih kuasa dapat kembalikan peranan Malaysia sebagai negara berkecuali dan meletakkan Malaysia kepada pendamai antarabangsa dan bukan memihak kepada negara-negara dalam pertikaian.

#AmanahDemiNegara

MOHAMAD SABU
Presiden
Parti Amanah Negara
24 Mei 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *