Majlis Presiden Pakatan Harapan perlu duduk sebelum berlunjur kata Salahuddin

KUALA LUMPUR: Inilah masanya untuk Majlis Presiden Pakatan Harapan menunjukkan kebijaksanaan mereka kepada rakyat dengan menyelesaikan kemelut calon perdana menteri gabungan itu, kata Timbalan Presiden AMANAH.

Salahuddin Ayub berkata, Pakatan Harapan seharusnya mampu menangani isu itu kerana memiliki barisan pemimpin berwibawa seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu.

“Sebenarnya jalan penyelesaian terbentang luas di hadapan kita. Bukankah ada meja Majlis Presiden Pakatan Harapan yang mampu menghuraikan kekusutan ini.

“Duduklah berunding demi kepentingan rakyat, kemudian barulah berlunjur untuk berkhidmat mereformasi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Isu bakal calon perdana menteri pakatan pembangkang menjadi rumit dengan penyertaan PPBM dalam gabungan itu.

Sebelum ini, PKR, DAP dan AMANAH dilihat tiada masalah mengangkat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri mereka.

Pada Kongres PKR ke-12 Ahad lalu, semua pemimpin utama Pakatan Harapan mengangkat sepanduk “Anwar PM ke-7, kecuali Dr Mahathir dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Gimik itu mengundang rasa tidak senang sesetengah pihak, termasuk Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menggesa satu tinjauan dijalankan badan bebas bagi mengenal pasti calon Perdana Menteri pilihan orang ramai.

Mengulas lanjut, Salahuddin bagaimanapun menyifatkannya hak mutlak PKR dan menasihatkan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan “menjadi pendengar yang baik” dengan mengutamakan pandangan akar umbi dalam soal itu.

“Ada kalanya pemimpin perlu berani menongkah arus mendepani cemuhan ahli demi kepentingan negara dan rakyat. Inilah sifat pimpinan yang bersedia meletakkan kepentingan awam dan mengetepikan kepentingan peribadi dan parti.”

Katanya, calon Perdana Menteri yang menjadi pilihan nanti mestilah pemimpin terbaik yang boleh mendapat kepercayaan rakyat.

“Jika Pakatan mahu Anwar sebagai PM, dia adalah yang ke-8, bukan ke-7. PM ke-7 bertanggugnjawab membentuk Kabinet, melakukan reformasi urus tadbir dan berusaha mendapatkan pengampunan untuk Anwar,” katanya.

Badan kaji selidik yang diketuai naib presiden PKR, Invoke Malaysia hari ini membentangkan hasil tinjauan mereka yang menunjukkan Anwar kekal sebagai calon perdana menteri “pilihan pengundi” dengan 23.5% undi, meninggalkan Dr Mahathir (16.5%) dan Muhyiddin (12.6%).

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *