Pas tidak wala, punyai 2 kesetiaan dalam Kerajaan PH Selangor yang dimusuhinya

Berikut adalah kenyataan media Biro Politik PKR yang bermesyuarat malam tadi berhubung kedudukan tiga Exco Pas yang enggan melepaskan jawatan mereka dalam kerajaan negeri Selangor, meskipun kedua-dua parti tiada lagi hubungan politik.

Kenyataan Media

Biro Politik KEADILAN malam ini telah mendengar taklimat dari YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden KEADILAN, berhubung situasi di Negeri Selangor ekoran keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang membatalkan tahaluf siyasi di antara PAS dengan KEADILAN.

Biro Politik KEADILAN mengambil maklum penjelasan yang diberikan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor bahawa, walaupun mereka bukan sebahagian dari Pakatan Harapan, kesemua 13 Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dari PAS telah bersetuju untuk terus menyokong dasar bersama Kerajaan Negeri Selangor berasaskan Buku Jingga, dan meneruskan keyakinan terhadap kepimpinan Dato’ Menteri Besar Selangor YAB Dato’ Seri Azmin Ali.

Biro Politik KEADILAN turut bersetuju dengan pendekatan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor untuk menjamin kestabilan Kerajaan Negeri menjelang PRU 14 dan meneruskan usaha membangunkan Negeri Selangor selaras dengan mandat besar rakyat pada PRU 13.

Biro Politik KEADILAN yakin terhadap kepimpinan YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk terus menerajui Kerajaan Negeri sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor dan melaksanakan pembangunan negeri demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Selangor.

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
23 Mei 2017.

Jelas kini bahawa tiga Exco Selangor daripada Pas akan terus memegang jawatan masing-masing, sekurang-kurangnya sehingga PRU 14 akan datang diadakan.

Selepas Pas berkeras tidak mahu meletakkan jawatan mereka, nampaknya PKR juga tiada keberanian untuk menyingkirkan tiga Exco berkenaan.

Maka, bukan saja tiga Exco berkenaan terus kekal menerima gaji, elaun dan kemudahan-kemudahan lain daripada kerajaan Pakatan Harapan yang Pas tiada hubungan dengannya, bahkan lebih 5,000 penjawat yang lain yang terdiri daripada ketua kampung, ahli jawatankuasa surau dan masjid, pelbagai jawatan lain dalam majlis perbandaran, majlis daerah dan GLC milik kerajaan negeri masih boleh terus bergembira dengan gaji yang diterima.

Alasan yang diberikan Azmin dalam penjelasannya ialah sebagaimana perenggan kedua kenyataan media Biro Politik yang antara lain berbunyi, “walaupun mereka bukan sebahagian dari Pakatan Harapan, kesemua 13 Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dari Pas telah bersetuju untuk terus menyokong dasar bersama Kerajaan Negeri Selangor berasaskan Buku Jingga dan meneruskan keyakinan terhadap kepimpinan Dato’ Menteri Besar YAB Datuk Seri Azmin Ali.”

Dengan kata lain, dua asas yang menjadikan tiga Exco itu dikekalkan ialah kerana mereka sedia menyokong dasar kerajaan negeri berasaskan Buku Jingga dan juga menyokong kepimpinan Azmin di Selangor.

Bukankah ini sesuatu yang pelik?

Tiada hubungan politik, tetapi masih boleh berada dalam kerajaan negeri hanya semata-mata kerana sedia menyokong dasar kerajaan negeri dan juga menyokong kepimpinan Menteri Besar?

Wakil rakyat Pas nampaknya sanggup menyokong dasar kerajaan negeri Selangor dan menyokong kepimpinan Azmin yang kedua-duanya adalah sebahagian daripada Pakatan Harapan yang dimusuhi semata-mata kerana ingin mempertahankan jawatan serta gaji yang lumayan.

Kepada siapa wala’ tiga Exco Pas ini sebenarnya?

Kepada kerajaan negeri Pakatan Harapan yang didalamnya ada DAP dan AMANAH atau kepada dasar perjuangan Pas sendiri yang memutuskan hubungan dengan PKR?

Bolehkah seseorang ahli politik mempunyai dua kesetiaan?

Selain itu, dengan kekalnya mereka itu dalam kerajaan negeri, bagaimana kedudukan mereka ketika kempen PRU 14 diadakan nanti?

Adakah ketika itu mereka akan terus menyokong dasar kerajaan dan kepimpinan Azmin sedangkan mereka bertanding atas tiket Pas yang bermusuh dengan Pakatan Harapan?

Kenapa kerajaan negeri Pakatan Harapan Selangor begitu lemah sehingga membiarkan musuh yang dikenali terus berkeliaran dalam rumah sendiri?

>> Komentar bebas penulis politik tanahair, Shahbudin Husin I 25 Mei 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *