Enggan terima memorandum daripada Pemuda Pakatan Harapan, pejabat SPR dirantai

PUTRAJAYA: Buat pertama kali sejarah kewujudan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya semalam, pagar bangunan tersebut dirantai oleh peserta demonstrasi.

Tindakan itu dilakukan ekoran SPR enggan menerima memorandum bantahan Pemuda Pakatan Harapan berhubung akses kepada Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) suku tahun.

Terdahulu, lebih 50 demonstran termasuk dari Kelantan dan Terengganu berkumpul di perkarangan Menara SPR itu selama sejam bagi menyerahkan memorandum berkenaan.

Menurut Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Sany Hamzan, keengganan SPR mengedarkan salinan daftar pemilih itu bakal disusuli dengan laporan polis minggu depan selain penyerahan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

“Kita sangat dukacita kerana demonstrasi hari ini gagal menyerahkan memorandum bantahan larangan edaran salinan RDPT kepada Pengerusi SPR.

“Kita juga akan mengusahakan perkara ini untuk mendapat perhatian dan campur tangan daripada Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja,” tegasnya kepada pemberita di perkarangan ibu pejabat SPR semalam.

Sementara itu, Pengerusi AMANAH Putrajaya Kamal Koh berkata, SPR harus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Agong bagi proses pilihan raya berjalan secara bersih dan adil.

“Tindakan mengunci pagar pejabat SPR ini simbol protes rakyat meluahkan kemarahan dalam usaha kita menegakkan keadilan.

“Kita mendidik rakyat tentang hak demokrasi bukannya kuku besi dan angkuh sehingga turun terima memorandum pun tak mahu,” ujar Naib Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan itu lagi ketika ditemui Malaysia Dateline.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *