SPR ‘macai’ BN bantu kemenangan, sekadar andaian atau memang kenyataan?

Benarkan SPR ‘macai’ BN? Sejak bila? Sejak dulu lagi atau hanya sekarang ini saja? Benarkah kemenangan BN selama ini kerana dibantu oleh SPR?

Barangkali ini adalah antara beberapa pertanyaan yang bermain dalam fikiran kebanyakan rakyat sejak dahulu lagi mengenai Suruhanjaya Pilihanraya atau SPR.

Persoalan itu tentunya tambah menuntut jawapan apabila semalam bekas Pengerusi SPR, Abdul Rashid Abdul Rahman dilaporkan memberi amaran kepada Pengerusi SPR sekarang, Mohd Hashim Abdullah agar tidak menjadikan badan pengendali pilihanraya itu sebagai ‘macai’ BN.

Abdul Rashid yang kini merupakan Naib Presiden Bersatu berkata demikian dalam kenyataan bersama dengan Ahli Biro Politik PKR, R Sivarasa, Ketua Penerangan Amanah, Khalid Abdul Samad dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.

“Kita sedar tekanan yang sedang dihadapi SPR dari parti pemerintah untuk memastikan BN kembali berkuasa pada pilihanraya umum akan datang.

“Tetapi SPR, sebagai badan yang bertanggungjawab untuk proses pilihanraya yang demokratik harus dan tidak boleh menjadi ‘macai’ BN dengan melanggar Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan suruhanjaya itu mendapat kepercayaan orang ramai,” kata beliau dalam kenyataan bersama itu lagi.

Sehubungan dengan kenyataan itu, Abdul Rashid turut dilaporkan akan mengetuai delegasi Pakatan Harapan untuk bertemu SPR bagi membincangkan beberapa isu berkaitan pilihanraya.

Mereka sedang berusaha mendapatkan tarikh itu dan meminta SPR agar tidak menolak permintaan PH untuk bertemu itu.

“Kalau nak berjumpa dengan SPR pun tak boleh, tak payah demokrasilah.

“Proses dalam pilihanraya ini salah satu perkara penting ialah kita berdialog, berjumpa dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab. SPR merupakan badan tertinggi yang menggendalikan pilihan raya.

“Kalau rata-rata rakyat nak ubah kerajaan, biarkanlah, SPR tak perlu campur tangan, malulah sikit kalau nak campur tangan.

“Anda dilantik Yang di-Pertuan Agong dengan harapan keyakinan rakyat dapat dipertahankan,” ujar Abdul Rashid lagi dalam satu sidang media yang diadakan di pejabat PKR di Petaling Jaya itu.

Oleh kerana Abdul Rashid sekarang ini sudah bersama Bersatu, salah satu komponen PH, maka SPR tidak seharusnya menolak untuk bertemu dan berdialog dengan delegasi yang diketuai beliau itu.

Sebagai orang yang pernah mengetuai SPR, pertemuan itu nanti bukan saja dapat merungkai pelbagai isu yang selama ini menjadi persoalan, bahkan mungkin dapat menjawab kedudukan berkaitan ‘macai’ ? itu sendiri.

Benarkah ia ‘macai’ dan sejak bila keadaan itu berlaku?

Jika Abdul Rashid dengan berani menuduh SPR sebagai ‘macai’ BN,
Mohd Hashim bukan saja berpeluang membuktikan dakwaan itu tidak benar jika ia hanya andaian semata-mata, tetapi juga berpeluang menyingkap kembali sejarah lama ketika badan itu diketuai oleh Abdul Rashid untuk membuktikan duduk perkara yang sebenarnya.

Beliau mungkin boleh menyoal balik Abdul Rashid, apakah ketika SPR di bawah pimpinannya dahulu, badan itu juga merupakan ‘macai’ kepada BN?

Kalau dulu pun sudah ‘macai’ dan sekarang pun kekal ‘macai’, apakah sekarang ia mahu ditamatkan atau dibiarkan kekal sebagai ‘macai’ sampai bila-bila?

Beranikah Abdul Rashid menuduh SPR sebagai ‘macai’ BN jika di bawah pimpinannya dahulu SPR sudah pun merupakan ‘macai’ juga?

Dan sekiranya ketika Abdul Rashid mengetuai SPR, elemen ‘macai’ itu tidak wujud, sebaliknya hanya wujud ketika ini, menjadi kewajipan pula kepada Mohd Hashim yang mengetuai badan itu sekarang memberi penjelasannya.

Pokoknya, pertemuan ini tidak harus tidak diadakan atau tidak dijadikan kenyataan dan Mohd Hashim mesti berani bertemu serta berdepan dengan Abdul Rashid yang bakal mengetuai delegasi PH dalam pertemuan iti nanti.

Semua pihak ingin mengetahui sejauh mana bebas dan benarnya dakwaan atau tanggapan bahawa SPR adalah ‘macai’ BN dan hakikat beberapa negeri pernah jatuh ke tangan pembangkang bukanlah jawapan yang memadai untuk persoalan itu.

Pertemuan dan dialog SPR dengan PH yang diketuai oleh Abdul Rashid, kalau pun tidak sepenuhnya, mampu memberi sedikit-sebanyak pencerahan mengenainya.

>> Komentar bebas penulis politik, Shahbudin Husin I 19 Mei 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *