Dana SRC diguna bayar pengamal media ‘cyber trooper’ urus kempen BN-Najib?

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa lebih RM2.6juta telah digunakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak daripada dana SRC International Sdn.Bhd untuk membayar pengamal media dan kempen media sosial.

Menerusi blognya, Rafizi dipetik berkata, tiga penerima dana SRC itu adalah pengamal media atau syarikat yang bertanggungjawab menguruskan kempen media sosial atau kempen media Umno/Barisan Nasional, atau pun kempen Najib sendiri.

“Kita mahu tahu berapa banyak wang dan peruntukan yang telah digunakan oleh Datuk Seri Najib, baik dari akaun beliau sendiri atau dari peruntukan kerajaan untuk membayar cyber trooper upahan atau syarikat-syarikat yang menggaji cyber trooper upahan, dengan menggunakan wang rakyat?” soalnya.

Rafizi menyebut tiga syarikat itu adalah sebuah firma bernama Warisan Researh Ltd.

“Pada 22 Julai 2014, maklumat dari dokumen yang dibocorkan menunjukkan Datuk Seri Najib membayar dari akaun peribadinya sejumlah RM1juta kepada satu firma bernama Warisan Research PLT.

“Pada 19 Ogos 2014, maklumat dari dokumen yang dibocorkan menunjukkan Dato’ Seri Najib membayar dari akaun peribadinya sejumlah RM655,000 kepada seorang rakyat Singapura bernama Romen Bose yang juga merupakan wakil media antarabangsa di negara ini

“Pada 27 Ogos 2014, maklumat dari dokumen yang dibocorkan menunjukkan Datuk Seri Najib membayar dari akaun peribadinya sejumlah RM2 juta kepada satu firma bernama Orb Solutions Sdn Bhd,” ujarnya.

Rafizi percaya individu-individu yang dinamakan itu tidak akan menafikan pendedahan-pendedahan dilakukannya atau akan mengemukakan bukti bahawa pendedahan ini tidak benar.

“Yang saya paling tertarik ialah bagaimana Datuk Seri Najib membayar firma-firma dan pengamal media untuk menulis dan memantau kandungan media sosial.

“Ini bukanlah mengejutkan kerana rakyat Malaysia telah menerima kewujudan “cyber trooper” Umno yang banyak mewujudkan akaun-akaun palsu (termasuklah menggunakan identiti orang yang sudah mati) untuk membodek Datuk Seri Najib dan menyerang pembangkang.

“Fenomena media sosial seperti #supportMyPM yang banyak ada di laman Datuk Seri Najib sendiri mengesahkan kewujudan tentera maya palsu ini,” ujar Rafizi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *