Buktikan parti berintegriti, PKR arahkan ahlinya memegang jawatan keluar pentadbiran Pas di Kelantan

KUALA LUMPUR: PKR mengarahkan semua ahli partinya yang dilantik dalam pentadbiran Kelantan meletak jawatan serta merta susulan keputusan Pas menamatkan hubungan dengan parti itu.

“PKR membuat keputusan semua lantikan politik PKR di dalam kerajaan negeri Kelantan diminta melepaskan jawatan tersebut berkuatkuasa serta merta,” kata Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas mesyuarat Biro Politik PKR, Rabu lalu.

“Perkara ini disampaikan kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan negeri masih mengekalkan wakil PKR di semua PBT di Kelantan bagi sesi 2017.

Pada 11 Mei lalu, Majlis Syura Ulama Pas memberikan lampu hijau kepada keputusan muktamar Pas baru-baru ini untuk membatalkan kerjasama politik dengan PKR, atas alasan pelanggaran syarat oleh PKR serta bantahannya terhadap agenda Islam yang dibawa Pas.

Dr Wan Azizah berkata, PKR semalam turut membincangkan kedudukan Pas dalam Selangor, tetapi ia akan diputuskan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang kini di luar negara.

“PKR menerima keputusan Pas yang membuat ketetapan muktamad membatalkan tahaluf siyasi, tetapi PKR menolak alasan yang mereka berikan.

“PKR akan segera mengatur langkah berikut bersama Pakatan Harapan dan sekutu lainnya yang mendokong agenda reformasi untuk hadapi Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *