AMANAH sokong Malaysia hantar pulang 3 lelaki warga Turki ke negara asal

KUALA LUMPUR: AMANAH pada Rabu lalu mempertahankan tindakan Kerajaan Malaysia menghantar pulang 3 lelaki Turki ke negara asal mereka atas tuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan.

Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata ia merupakan hak mana-mana negara untuk memberi perlindungan atau menghantar pulang sesiapa pun yang dikehendaki di negara asal mereka.

“Jadi saya rasa apa yang dilakukan untuk memulang atau menghantar kembali individu itu bergantung kepada keputusan kerajaan pada waktu itu, dalam kerangka dasar dan undang-undang antarabangsa,” katanya kepada wartawan.

Turgay Karaman, 43, Ihsan Aslan, 39 dan Ismet Ozcelik, 58, dituduh pentadbiran pimpinan Recep Tayyip Erdogan mempunyai kaitan dengan pengganas.

Sejak kegagalan rampasan kuasa tahun lalu, pentadbiran Erdogan memenjarakan ribuan orang, dan memecat puluhan ribut penjawat awam, atas tuduhan bersekongkol dengan gerakan dipimpin ulama dalam buangan, Fethullah Gulen.

Gulen yang dituduh mendalangi percubaan rampasan kuasa itu menafikan dakwaan tersebut.

Pada 11 Mei, Malaysia menghantar pulang ketiga-tiga warga Turki itu walaupun selepas rayuan ahli keluarga yang bimbang ancaman terhadap mereka oleh pihak berkuasa Turki, yang kini aktif bertindak ke atas pengkritiknya.

Mereka ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau Sosma, pada 2 dan 4 Mei 2017 di lokasi berasingan.

Ia mengundang kecaman pertubuhan hak antarabangsa, yang mempersoalkan tanggungjawab moral kerajaan untuk memastikan mereka tidak dianiayai, di sebalik dakwaan seksaan banduan politik di Turki.

Salahuddin berkata apa yang dibuat oleh Malaysia bergantung kepada dasar luarnya.

Beliau pada masa sama berkata akan meneliti dan mendapatkan maklumat tepat mengenai latar belakang kes berkenaan dan individu-individu yang terbabit.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *