Muhyiddin dakwa Pakatan Harapan ada peluang lebih baik jika Pas-Umno bergabung

ALOR SETAR: Pakatan Harapan akan mempunyai peluang lebih baik untuk menang pada pilihan raya umum akan datang jika Pas bergabung dengan Umno, kata Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana, katanya, Pakatan Harapan akan berdepan dalam pertandingan satu lawan satu dan bukannya pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita dalam Pakatan Harapan akan terus mengatur langkah, untuk menerima hakikat bahawa Pas tidak lagi bersama kita, kita mungkin berhadapan tentangan tiga penjuru.

“Tetapi baik juga kalau mereka (Pas) nak bergabung dgn Umno, kita tentang dua penjuru, peluang lebih besar untuk menang.

“Apa-apa pun, strategi akan kita susun untuk mendapatkan kejayaan,” katanya pada sidang akhbar di Kedah Rabu lalu.

Menurutnya melalui kajian yang telah dibuat Bersatu, jelas jika berlaku satu lawan satu ia lebih mudah.

“Jika berlaku tiga penjuru kita akan berhadapan dengan persaingan.

“Jika kita mengatur strategi yang betul jika berhadapan tiga atau empat penjuru cara bagaimana kita akan usahakan apa jua situasi kita ada peluang untuk menang.

“Setakat hari ini Pas tidak mahu bekerjasama dengan kami dan sudah tidak ada lagi kerjasama yang disebutkan jika merujuk kenyatan Hadi sebelum ini, kita kena atur strategi lainlah,” ujar beliau.

Muhyiddin juga membidas Pas kerana sanggup bekerjasama dengan Umno.

“Mereka kata tak menyokong parti yang ada dalam Pakatan Harapan, tapi mereka sanggup bersekongkol dengan Umno, yang kita tahu sejak sejarah awal sampai sekarang pun mereka kata Umno ini bukan parti Islam dan mereka menentang segala apa yang dilakukan oleh Umno dan BN.

“Kita sudahpun jelaskan hari ini bahawa Umno ini dikaitkan dengan rasuah dan salah guna kuasa, jadi menghairankan kami mengapa Pas sanggup berkerjsama, sedangkan Pas ini katanya parti Islam…,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Timbalan Presiden Umno itu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *