Setiausaha Agung Pas dakwa hanya Sultan Selangor boleh pecat 3 Exco daripada parti Islam itu

KUALA LUMPUR: Exco Pas tidak akan berganjak dari tempat mereka selagi tidak diarah berbuat demikian oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, kata pemimpin kanan parti itu semalam.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, mereka akan mengabaikan sebarang arahan letak jawatan daripada Menteri Besar kerana exco mereka dilantik dan menjalankan tugas atas perkenan sultan.

Menurut Takiyuddin, ketetapan itu dibuat berdasarkan kepada perlembagaan dan undang-undang negeri.

“Selagi Sultan Selangor perkenan 3 Exco Pas itu, mereka kekal kerana mengikut perlembagaan hanya sultan boleh arah mereka meletak jawatan walaupun mendapat nasihat oleh Menteri Besar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Agung Pas di sini semalam.

Beliau berkata demikian berhubung laporan mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta 3 Exco Pas – Datuk Iskandar Samad, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib – melepaskan jawatan mereka, dalam satu mesyuarat yang turut dihadiri Pesuruhjaya Pas Selangor Sallehen Mukhyi.

Takiyuddin dipercayai merujuk kepada Bab 3 Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor, di bawah perkara Majlis Mesyuarat Kerajaan, dimana LIII(7) menyatakan: “…seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan selain daripada Menteri Besar hendaklah memegang jawatan selama yang diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia, tetapi mana-mana ahli Majlis itu boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa”.

Mengikut LIII(2)(b) pula, seorang exco dilantik sultan atas nasihat Menteri Besar.

FMT difahamkan lazimnya seorang Menteri Besar akan mengemukakan nama calon exco kepada istana untuk dipersetujui.

Laporan Azmin meminta Exco Pas melepaskan jawatan mereka bagaimanapun dinafikan setiausaha politik kepada Menteri Besar, Suhaimi Shafie. “Itu ‘spin’. Sepanjang pengetahuan saya, ia tidak berlaku,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media yang sama mengesahkan 3 exco mereka tidak menerima sebarang panggilan atau surat meminta mereka meletakkan jawatan.

“Kita telah jumpa 3 Exco itu selepas mereka jumpa dengan Azmin,” katanya.
“Setakat ini mereka kekal dengan tugas mereka yang telah dijalankan dengan baik di Selangor,” ujar beliau.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *