Tiga Exco Pas perlu keluar parti jika mahu kekal ekoran putus tahaluf siasi dengan PKR

KUALA LUMPUR: Tiga Exco Pas dalam Kerajaan Selangor perlu keluar daripada parti itu sekiranya mahu kekal sebagai Adun kerajaan.

A. Kadir Jasin menerusi tulisan di blognya berkata, ketiga mereka boleh memilih untuk menjadi Adun Bebas dan terus mengekalkan kedudukan dalam Dun Selangor.

“Mereka tidak ada pilihan melainkan berpisah daripada PKR kerana itulah implikasi pembatalan tahaluf siyasi dengan PKR.

“Tapi mereka hendak kekal juga sebagai rakan PKR dan duduk dalam barisan exco. Jadi caranya adalah dengan keluar Pas dan menjadi Adun Bebas,” katanya dalam satu tulisannya semalam.

Beliau turut menyarankan ketiga-tiga exco Pas yang masih dalam Dun Selangor untuk menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan dalam kerajaan Selangor.

“Mereka boleh sertai PKR atau boleh ikut rakan-rakan mereka yang telah menyertai AMANAH. Satu lagi kemungkinan, walaupun kecik adalah mereka mengisytiharkan Pas Selangor sebagai bebas daripada Pas Pusat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah pun membuka jalan ke arah itu apabila beliau dilaporkan berkata Pas masih boleh kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri selaras dengan mandat yang dimenanginya dalam PRU13,” katanya lagi.

Sebelum ini, ketiga-ketiga Exco Kerajaan Selangor daripada Pas menegaskan bahawa mereka masih bersama pentadbiran negeri itu kerana ia adalah mandat yang diberi rakyat pada PRU13.

Exco Kanan Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, langkah itu adalah demi memastikan kestabilan Kerajaan Selangor susulan timbul banyak khabar angin mengenai kedudukan parti Islam berkenaan dalam pentadbiran pimpinan Mohamed Azmin.

Beliau berkata exco Pas juga akan menjalankan tugas seperti biasa dan memastikan semua program kerajaan negeri seperti Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) terlaksana dengan jayanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *