Bukan untuk tubuhkan kerajaan, Pas bertanding 100 kerusi dalam PRU14 untuk ‘bunuh diri’

Sebelum putus hubungan dengan PKR dan ketika perbincangan dengan Bersatu masih berjalan, Pas menyasarkan untuk bertanding sebanyak 80 kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum akan datang.

Daripada 80 kerusi tersebut, Pas bagaimanapun hanya berharap untuk menang 40 kerusi saja. Bermakna, 40 kerusi lagi, Pas memang tahu mereka akan kalah.

Untuk rekod, pada PRU 13 Pas bertanding 73 kerusi dan hanya menang 21 kerusi saja.

Kira-kira mudahnya sifir Pas bertanding ialah 50-50, separuh ada harapan menang dan separuh lagi hanya kalah tujuannya masuk bertanding.

Selain tidak menggambarkan hasrat menubuhkan kerajaan, tujuan lain Pas bertanding 80 kerusi itu ditafsirkan banyak pihak ialah untuk memberi kelebihan kepada Najib Razak, UMNO dan BN agar lebih mudah mencapai kemenangan.

Setelah ditinggalkan Bersatu yang lebih dulu menyertai Pakatan Harapan dan kemudian bercerai secara rasmi dengan PKR, sasaran Pas untuk bertanding tiba-tiba meningkat daripada 80 kerusi kepada 100 kerusi.

Bagaimanapun, Pas tetap meletakkan harapan untuk menang di 40 kerusi saja.

Biasanya, dalam apa-apa pertandingan, jika lebih banyak acara atau kerusi yang ditandingi, jumlah yang disasarkan untuk menang juga turut bertambah.

Tetapi tidak bagi Pas, sasaran menangnya istiqamah 40 kerusi.

Bererti, pertambahan 20 kerusi untuk ditandingi itu bukan bertujuan untuk menang, tetapi bertanding semata-mata untuk kalah.

Dengan pertambahan kerusi yang mahu ditandingi daripada 80 kepada 100, tetapi harapan menang kekal 40, dengan sendirinya kerusi yang dijangka Pas akan kalah turut bertambah kepada 60 daripada 40 sebelumnya.

Dalam erti kata lain, bersungguh benar Pas nampaknya mahu membantu Najib, UMNO dan BN untuk menang PRU 14 akan datang sehingga dengan tiba-tiba sanggup bukan saja menambah jumlah kerusi yang mahu ditandingi, bahkan juga jumlah kerusi yang bertanding bagi tujuan bukan untuk menang.

Apakah disebabkan bantuan bertanding 80 kerusi sebagaimana diumumkan sebelum ini masih belum cukup memadai, maka Pas sedia menambah jumlah kerusi yang ditandingi semata-mata untuk tujuan “bunuh diri”?

Lebih menarik, dengan menambah jumlah kerusi yang mahu ditandinginya itu, Pas juga menyasarkan bertanding di kawasan-kawasan yang ditandingi oleh DAP seperti Segambut misalnya.

Oleh kerana lawan DAP ialah MCA, Gerakan atau MIC, tidak cukup dengan membantu UMNO, apakah bermakna Pas juga sedang melebarkan sayap bantuannya kepada parti-parti komponen BN pula?

Inikah makna dan pengertian baru slogan “Pas For All” sekarang ini?

>> Komentar bebas penulis buku politik, Shahbudin Husin I 15 Mei 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *