Wanita AMANAH sifatkan rugi jika jururawat lebih minat berkhidmat di luar negara – Dr Mariah

Dalam bidang rawatan dan penjagaan kesihatan, jururawat mempunyai tempat yang istimewa tetapi sentiasa penuh cabaran dan risiko. Mereka senantiasa dalam keadaan bersedia untuk menerima pesakit yang datang dengan pelbagai jenis penyakit termasuk yang berjangkit atau sebarang kecederaan lain.

Di samping itu, mereka juga terpaksa menjaga pesakit-pesakit di wad yang sudah tentu masing-masing mempunyai karenah yang tersendiri.

Di sini sikap sabar yang tinggi dan profesional para jururawat patut mendapat sanjungan dan pujian oleh masyarakat.

Saya difahamkan, bilangan jururawat seluruh negara ketika ini adalah sekitar 90,000 lebih.

Walau bagaimanapun, kebanyakan jururawat ada yang memilih untuk berkhidmat di luar negara bagi menikmati cabaran kerjaya yang lebih baik dengan pendapatan yang lebih tinggi.

Antara negara pilihan utama mereka sekarang adalah Singapura.

Sudah tentu dengan peningkatan kos hidup hari ini yang mereka hadapi, ditambah pula, tekanan kerjaya di samping perhatian yang perlu diberikan kepada anak-anak dan keluarga, para jururawat ini ada yang berusaha mencari peluang di luar negara demi keluarga mereka.

Saya berfikir mungkin sudah tiba masanya kerajaan menyemak semula tangga gaji yang para jururawat ini terima dan saya mencadangkan agar beberapa insentif yang baik dalam bentuk peningkatan elaun, kebajikan dan sebagainya disediakan.

Malaysia bertuah kerana mempunyai anggota masyarakat yang memiliki minat yang tinggi dalam bidang kejururawatan dan dibantu pula dengan pelbagai institusi pengajian yang menawarkan bidang pengajian dalam bidang ini.

Tetapi sayang sekiranya tenaga kerja yang berkualiti seperti ini tidak dijaga dengan baik yang akhirnya menyebabkan mereka memilih untuk mencari peluang yang lebih baik di luar negara.

Saya mengucapkan Selamat Hari Jururawat kepada semua tenaga kerja ini yang tidak jemu-jemu menyumbang bakti kepada masyarakat.

DR SITI MARIAH MAHMUD
Ahli Parlimen AMANAH Kota Raja
Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional
12 Mei 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *