Elak mudarat awam merupakan prinsip agama – Ustaz Hassanuddin Mohd Yunus

Islam adalah agama kehidupan dan ia tidak terbatas kepada hal-hal aqidah dan syariah sahaja. Akhlak yang juga ditekankan dalam Islam merupakan sesuatu yang sangat indah dan manis, yang merupakan buah kepada pokok dan tunjang agama itu.

Walaupun kepada pihak yang menolak seruan akidahnya, Islam masih menawarkan rahmahnya.

Malangnya, kemanisan dan keindahan Islam yang ditawarkan itu telah menjadi kabur akibat perbuatan sesetengah penganutnya, malah kadang kala menimbulkan kecurigaan kepada sesama anak Adam di sekeliling mereka.

Mengapakah, dalam konteks ilmu maqasid syariah misalnya, yang sering kita tonjolkan sekarang adalah meraih keuntungan dan kebaikan (maslahat) tetapi kita kurang menekankan perihal menolak kerosakan dan kemusnahan (mafsadah) sedangkan kedua-dua sama utama.

Memastikan keselesaan pengguna jalan awam sangat penting. Pemerintah wajib menyediakan kemudahan prasana seperti lebuhraya, jalanraya, jalan kampung, jalan motosikal, lorong berbasikal sehingga lorong pejalan kaki.

Mengenai pembahagian kerja dalam melaksanakan tanggungjawab ini, terpulanglah, sama ada oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan atau pihak swasta atau atas dasar pemuafakatan penduduk setempat. Yang penting perkhidmatan itu perlu disediakan.

Selepas jalan-jalan disiapkan, penyelengaraan mesti dibuat. Pemerintah yang prihatin tentu akan menanggungnya atas asas tanggunjawabnya kepada orang ramai.

Dalam keadaan tertentu tidak salah untuk mengongsikan kosnya dengan mengenakan sedikit kos kepada orang ramai tetapi ia tidak wajar dijadikan barang perniagaan atau peluang meraih keuntungan, apatah lagi untuk kroni pemerintah.

Semangat perkongsian ini jelas terdapat dalam sistem-sistem yang diperkenalkan oleh Tuhan bagi masyarakat Islam.

Kita perlu mengenal pasti walaupun ketika kita cuba melakukan kebaikan, sebarang kesan sampingan yang muncul yang menyusahkan orang lain.
Menyusahkan orang ramai adalah sesuatu yang sangat dilarang.

Dalam banyak keadaan, Islam mengajar kita untuk mengutamakan menghindari keburukan berbanding melakukan kebaikan. Kita perlu membuat banyak pertimbangan walaupun kadang-kadang kita terpaksa menilai kes ke kes yang berbeza-beza.

Demikian agama mengajar kita menghindari dari menyusahkan orang di sekeliling kita.

إن الملائكة تتأذّى ممّا يتأذّى منه بنو آدم

“Sesungguhnya para Malaikat turut terganggu ketika anak-anak Adam (orang ramai) terganggu dengan sesuatu perkara”

Kembali kepada isu perkongsian penggunaan jalan awam, semua pihak perlu pastikan kita dapat membuang apa-apa yang menyusahkan penggunanya.
Sesungguhnya, ia adalah salah satu tanda kita beriman kepada Tuhan.

الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ

“Iman itu tujuh puluh cabang lebih atau enam puluh cabang lebih. Yang paling utama adalah ucapan “Laa ilaaha illallah” dan yang paling rendah adalah *menyingkirkan rintangan (gangguan) dari jalanan*. Dan rasa malu itu juga termasuk salah satu cabang iman.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Jika kita terjumpa halangan yang menyusahkan orang ramai di jalan awam, dan kita dengan sengaja tidak mengalihkannya, kita sebenarnya berada di tahap paling rendah iman ketika itu.

Halusnya agama yang mulia ini, kita juga dilarang untuk duduk-duduk di tempat orang ramai lalu lalang kerana ia mungkin menyusahkan pengguna jalan itu.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالْجُلُوسَ بِالطُّرُقَاتِ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا لَنَا مِنْ مَجَالِسِنَا بُدٌّ نَتَحَدَّثُ فِيهَا فَقَالَ إِذْ أَبَيْتُمْ إِلَّا الْمَجْلِسَ فَأَعْطُوا الطَّرِيقَ حَقَّهُ قَالُوا وَمَا حَقُّ الطَّرِيقِ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ غَضُّ الْبَصَرِ وَكَفُّ الْأَذَى وَرَدُّ السَّلَامِ وَالْأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْيُ عَنْ
الْمُنْكَرِ (رواه البخاري)

Dari Abu Sa’id Al Khudri radliallahu ‘anhu berkata, bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Janganlah kalian duduk-duduk di pinggir jalan.” Para sahabat bertanya; “Wahai Rasulullah, Itu kebiasaan kami yang sudah biasa kami lakukan karena itu menjadi majlis tempat kami untuk bercakap-cakap.” Beliau bersabda: “Jika kalian tidak mau meninggalkan majlis seperti itu (duduk-duduk di jalan), maka tunaikanlah hak (pengguna) jalan.” Sahabat bertanya: “Apa saja hak jalan?” Beliau menjawab: “Menundukkan pandangan, MENYINGKIRKAN HALANGAN, menjawab salam dan amar ma’ruf nahi munkar.” – (HR. Bukhari)

Membuang sesuatu yang menyusahkan orang ramai ketika menggunakan jalan awam adalah sesuatu yang besar di sisi Tuhan.

إماطة الأذى عن الطريق
صدقة

“Membuang apa-apa yang menyusahkan di jalanan dikira bersedekah”.
Malahan, ia mendapat balasan besar di akhirat nanti.

لقد رأيتُ رجلًا يتقلَّبُ في الجنة في شجرة قطعَها من ظَهْرِ الطريق كانت تؤذي الناسَ
(مسلم)

“Sesungguhnya aku melihat seorang lelaki yang bersenang-senang dan bermain-main di pohon syurga, pohon yang pernah dipotongnya di jalan awam kerana mengganggu orang ramai”.

Kalau membuang sebarang halangan yang mengganggu orang ramai di jalanan mendapat perhatian dan ganjaran Tuhan, bagaimana pula kalau kita yang membuat pengguna jalan terhalang, tidak selesa, menyusahkan mereka dan akhirnya memendam rasa marah kepada kita?

Bagaimana jika risalah Islam yang mulia menjadi kabur atau imej umat Islam yang lain tercemar dek perbuatan kita?

HASSANUDDIN MOHD YUNUS

Naib Presiden AMANAH,

13 Mei 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *