Deja vu gandingan Mahathir-Anwar gerakkan Pakatan Harapan hadapi PRU14

Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini mengumumkan anggota Majlis Presiden terdiri daripada Penasihat, Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan 3 Naib Pengerusi iaitu Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semua pemimpin itu mewakili 4 anggota PH iaitu PKR, DAP, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Tidak lama kemudian tersiar poster dengan gambar gandingan Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ikon PH dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang dijangka semakin hampir.

Minggu ini Pakatan Harapan dijangka mengemukakan permohonan untuk didaftar dengan logo bersama.

Anwar yang masih dalam penjara difahami tetap menjadi Ketua Umum PH. Juga dipersetujui, jika PH menang pilihan raya dan mampu menubuhkan kerajaan, Anwar akan dicalonkan sebagai perdana menteri setelah proses pembebasannya dilakukan. Maka kehadiran Dr Wan Azizah adalah untuk mewakili Anwar.

Namun, apa yang akan benar-benar berlaku bergantung pada jumlah kerusi yang mereka raih kelak. Pembahagian kerusi belum diputuskan. Tetapi dapat dipercayai PKR akan terus bertanding di kerusi yang selama ini mereka tanding.

DAP akan bertanding di kawasan majoriti Cina. AMANAH akan bertanding di kawasan yang dimenangi Pas. PPBM akan bertanding di kawasan Umno.

Di sini akan berlaku juga pembahagian kerusi antara PKR dan PPBM. Tetapi matlamat mereka adalah untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) walaupun PH terpaksa juga menghadapi Pas.

Pastinya Dr Mahathir tidak akan bertanding. Beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri lagi. Beliau akan memberi laluan pada Anwar.

Tetapi Anwar dalam penjara. Beliau juga tidak bertanding walaupun usaha akan dilakukan untuk beliau menjadi Perdana Menteri jika PH menang.

Apa yang jelas, PH menampilkan dua ikon popular tetapi kedua-duanya tidak bertanding. Dr Mahathir berusia 91 tahun dan Anwar menjalani hukuman penjara.

Jadi jika PH menang dengan pemimpin utamanya memperoleh kerusi, maka yang jadi Perdana Menteri adalah Dr Wan Azizah jika diambil kira beliau adalah pengerusi.

Jika tidak, maka jawatan itu jatuh pada Datuk Seri Azmin Ali selaku Naib Pengerusi PH dari PKR.

Kalau kerusi PPBM lebih banyak, Muhyiddin akan menjadi Perdana Menteri. Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu tidak boleh jadi Perdana Menteri kerana bilangan kawasan yang parti mereka tandingi adalah kecil.

Namun, jika PH berpecah selepas pilihan raya dengan penyusunan semula hubungan parti politik melibatkan Umno dan Pas, maka ia menjadi cerita lain.
Tetapi jika mandat rakyat adalah kepada PH, mereka menolak BN dan Pas, bukan sekadar tidak mahu pemimpin tertentu.

Nostalgia

Tetapi apapun pergolakan politik yang sedang dan akan berlaku, gandingan Mahathir-Anwar ini bukan saja menggamit nostalgia generasi yang hidup pada zaman itu tetapi mewujudkan suatu rasa deja vu.

Siapa sangka berlaku sekali lagi gandingan politik Mahathir-Anwar walaupun kini pada pihak pembangkang.

Anwar menerima pelawaan Dr Mahathir untuk menyertai pasukan politiknya menjelang pilihan raya 1982. Pada masa itu, Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno asal, dengan gandingan bersama Tun Musa Hitam sebagai timbalannya.

Pihak pembangkang yang menentang mereka ketika itu ialah Pas, DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM).

Gandingan Mahathir-Anwar bermula pada 1993 apabila Anwar menjadi Timbalan Presiden Umno (Baru) dan Timbalan Perdana Menteri. Pada masa itu pihak pembangkang terdiri daripada Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat yang parti utamanya ialah Semangat 46, Pas, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Gandingan Mahathir-Anwar berakhir pada 1998. Maka kerjasama politik Dr Mahathir dan Anwar berlangsung dari 1982 hingga 1998, iaitu 16 tahun.

Anwar turut menyumbang pada pentadbiran Dr Mahathir yang membawa perubahan besar pada Malaysia khususnya ketika menjadi timbalan kepada Perdana Menteri iaitu selama 5 tahun dari 1993 hingga 1998.

Pada masa itu bukan saja Malaysia mengalami perubahan mendadak tetapi juga memberi semangat dan harapan besar kepada rakyat untuk hidup dalam sebuah negara yang maju.

Ketika gandingan mantap itu, khususnya apabila Dr Mahathir memberi kepercayaan pada Anwar untuk memangku jawatannya pada 1997, rakyat berasakan masa depan cerah dengan peralihan kepimpinan akan berlaku secara licin.

Ketika itu Anwar hampir pasti menggantikan Dr Mahathir dan Malaysia diharapkan menjadi lebih baik di bawah kepimpinan beliau.

Pada 1997, pihak pembangkang berada dalam keadaan lemah. Semangat 46 dibubarkan dengan para pemimpinnya menyertai Umno Baru. Penyertaan mereka membolehkan Umno Baru menggugurkan perkataan “Baru” dan ia menjadi Umno saja.

Dengan perkembangan itu, Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat juga terbubar. Pas, DAP dan PRM menjadi parti pembangkang tanpa sebarang gabungan.

Jika Anwar menjadi Perdana Menteri ke-5 dan meneruskan legasi Dr Mahathir, maka pergolakan politik negara mungkin menjadi berlainan. Dr Mahathir boleh bersara dengan tenang sebagai negarawan unggul yang mewakili Malaysia di persada dunia.

Andai kata Anwar meneraju negara ketika itu, maka Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak tidak akan jadi perdana menteri ke-5 dan ke-6.

Pusingan ke-2 gandingan Mahathir-Anwar

Tetapi panas tidak sampai ke petang. Semangat dan harapan rakyat untuk menikmati hidup dalam sebuah negara maju hancur berkecai apabila berlaku krisis kewangan Asia diikuti dengan perbalahan antara Dr Mahathir dan Anwar.

Walaupun Dr Mahathir berjaya mengheret bekas timbalannya ke penjara, tetapi penyokong Anwar berkalih untuk menjadi pembangkang. Pada 1999, Dr Mahathir menghadapi pembangkang yang lebih kuat. Penyokong Anwar menubuhkan Parti Keadilan Nasional yang bersama Pas, DAP dan PRM menubuhkan Barisan Alternatif.

Walaupun menang pilihan raya umum, Dr Mahathir melepaskan jawatan pada 2003 dan Abdullah menjadi Perdana Menteri. Dr Mahathir mengharapkan Abdullah meneruskan legasi beliau. Tetapi perkara itu tidak berlaku.

Setelah BN mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarahnya pada 2008, Abdullah menerima tekanan daripada Dr Mahathir supaya melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada Najib.

Cuba bayangkan, andai kata Abdullah dan Najib memuaskan hati Dr Mahathir, maka tidak timbul beliau meninggalkan Umno, menubuhkan PPBM, bergabung dengan PH dan berganding semula dengan Anwar.

Dalam usia 91 tahun, pada 2017 ini, Dr Mahathir memulakan pusingan kedua dalam bentuk gandingannya dengan Anwar. Anwar pula berusia 69 tahun.

Dr Mahathir mula aktif dalam politik melalui pertubuhan Saberkas (Sayang Akan Bangsa Rela Korban Apa Saja) pada 1945. Saberkas kemudiannya menyertai Umno apabila ditubuhkan pada 1946.

Ini bermakna beliau aktif dari tahun 1945 dan kini masih belum berhenti. Anwar pula mula aktif pada 1968 selaku Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM). Pada 1974, selaku Presiden Majlis Belia Malaysia, Anwar bertembung dengan Dr Mahathir, yang ketika itu adalah Menteri Pelajaran.

Kini Dr Mahathir dan Anwar adalah pemimpin Pakatan Harapan. Negara ini telah, sedang dan akan terus dicorakkan oleh kedua-dua tokoh ini. Rakyat hanya boleh menaruh harapan.

Melihat apa yang berlaku dalam politik, apa-apa saja yang tidak terfikir boleh berlaku untuk masa akan datang.

>> Komentar bebas bekas Pengarang Kanan Utusan, Zin Mahmud I 12 Mei 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *