Cadangan wujud Pesuruhjaya Kanak-kanak dibentang minggu depan kata Azalina

LONDON: Pesuruhjaya Kanak-kanak perlu diwujudkan bagi memantau, menyelaras dan mengkaji semua undang-undang berkaitan jenayah seksual kanak-kanak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, pesuruhjaya itu yang akan bergerak secara bebas, bukan sahaja mengkaji undang-undang tetapi juga dari segi elemen dan dasar sesuatu undang-undang itu terhadap jenayah seksual kanak-kanak, lapor Bernama.

Katanya, keperluan untuk mewujudkan Pesuruhjaya Kanak-kanak ini akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan, hasil tinjauannya ke atas Mahkamah Kanak-kanak di India dan United Kingdom.

Azalina berkata demikian kepada wartawan Malaysia di sana ketika bersama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung Permata Negara, serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, mengadakan lawatan ke Mahkamah Majistret Stratford yang dijadikan Mahkamah Keganasan Rumah Tangga, pada Selasa.

Selain mengikuti prosiding mahkamah tersebut, mereka diberi taklimat oleh Pengurus Pendakwaan Perundangan mahkamah itu, Paul Okebu mengenai pengendalian kes jenayah seksual kanak-kanak.

Mereka turut mengadakan pertemuan dengan pegawai Crown Prosecution Service yang diketuai Duncan Moass.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Sebelum ke London, Azalina mengadakan lawatan ke India bagi melihat pelaksanaan Mahkamah Kanak-kanak di negara itu.

Menyentuh penubuhan Mahkamah Kanak-kanak yang pertama di Malaysia, iaitu di Istana Kehakiman di Putrajaya, Azalina berkata, mahkamah itu yang akan mula beroperasi pada Jun ini akan turut mengendalikan kes jenayah seksual kanak-kanak di Kuala Lumpur dan Selangor.

Bagi mengendalikan kes berkaitan jenayah tersebut yang memerlukan kepakaran dan kefahaman mendalam mengenai kanak-kanak, beliau berkata, hakim Mahkamah Sesyen serta pihak pendakwaan akan menjalani kursus khas mulai Khamis ini.

Azalina berkata, pihaknya juga akan berusaha membawa pakar mengendalikan kes jenayah seksual dari India dan United Kingdom ke Malaysia untuk berkongsi pengalaman mereka mengendalikan mahkamah tersebut dengan hakim dan pihak pendakwaan.

Katanya, mereka yang mengendalikan kes jenayah seksual, termasuk pihak pembelaan perlu sentiasa mempertingkatkan kemahiran dalam mengendalikan kes tersebut kerana ia amat berbeza dengan pengendalian kes mahkamah sedia ada.

Berhubung pemerhatiannya terhadap pengendalian kes sedemikian di London, Azalina tertarik dengan kepantasan mereka merakamkan keterangan kanak-kanak terbabit apabila berlaku sesuatu kejadian.

“Mereka berbuat demikian kerana sensitif dengan kes tersebut dan kenyataan serta rakaman yang dibuat akan disimpan dan digunakan apabila kes dibawa ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran Rosmah pada lawatan hari ini disebabkan Permata merupakan pemangkin dalam mewujudkan kesedaran mengenai jenayah seksual kanak-kanak.

Persidangan Parlimen pada April lalu meluluskan Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak berikutan seminar mengenai jenayah seksual kanak-kanak yang dianjurkan Permata pada Mac lalu.

Selain itu, Permata yang turut terlibat dalam pendidikan di Taman Asuhan dan Taman Didikan Kanak-kanak adalah platform terbaik untuk menjalankan tanggungjawab menyemai kesedaran dan kefahaman mengenai perkara ini kepada kanak-kanak.

Sementara itu, Sharifah Zarah berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang menyediakan pelan komunikasi bagi mewujudkan kefahaman di kalangan masyarakat mengenai jenayah seksual kanak-kanak.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyediakan pelbagai bentuk media untuk diedarkan kepada masyarakat bagi tujuan tersebut.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *