Pakatan Harapan dakwa calon PM gabungan itu jauh lebih baik daripada Najib

PETALING JAYA: Pakatan Harapan nampaknya masih enggan menjawab siapa calon Perdana Menteri mereka bagi menghadapi PRU-14 yang boleh diadakan bila-bila masa mulai sekarang.

Ketika ditanya mengenai perkara itu pada sidang media Majlis Setiausaha Pakatan Harapan hari ini, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata siapa pun calon mereka pasti lebih baik daripada Perdana Menteri sedia ada.

Oleh itu, PRU-14 akan menyaksikan Pakatan Harapan, yang dianggotai PKR, DAP, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), lebih menjurus kepada isu dasar.

“Yang pasti bakal (calon) Perdana Menteri jauh lebih baik daripada yang ada sekarang,” kata Saifuddin di Ibu Pejabat PPBM Selasa lalu.

“Senang untuk mencari calon yang lebih baik daripada Perdana Menteri sekarang,” kata Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah, mencelah.

Kegagalan Pakatan Harapan menamakan calon perdana menteri mereka masih menjadi topik hangat, dan ada kalanya menjadi senjata lawan politik mereka.

Sebelum ini, ada pihak menamakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selaku calon itu. Namun ada juga, antaranya Datuk Zaid Ibrahim, yang memilih Tun Dr Mahathir Mohamad atas dasar ia akan dapat meningkatkan sokongan pengundi Melayu.

Segelintir pemimpin Umno pula berkata DAP berniat mendapatkan jawatan itu, meletakkan Pakatan Harapan dalam keadaan defensif dalam kalangan pengundi Melayu.

“Pengumuman (berhubung calon Perdana Menteri) pasti akan dibuat, beransur-ansur,” kata Saifuddin Abdullah, yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Sidang media tersebut diadakan selepas mesyuarat mingguan kali pertama Majlis Sekretariat Pakatan Harapan, dan bagi mengumumkan Rangka Kerja Bersama Pakatan Harapan sebagai persediaan menjelang pilihan raya akan datang.

Rangka kerja itu hasil daripada perbincangan dengan semua pihak berkepentingan, seperti badan bukan kerajaan, golongan akademi, wanita dan belia serta kajian antarabangsa dan badan pemikir tempatan.

“Ini dasar bersama…yang mengandungi falsafah, matlamat dan kandungan asas (tawaran Pakatan). Selepas ini kita akan teruskan perbincangan secara rasmi dengan pihak berkepentingan,” kata Saifuddin Abdullah.

Antara yang menjadi rujukan, katanya lagi, adalah Laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu serta pelbagai memorandum dari pertubuhan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Bersih, serta program yang dijalankan gerakan sukarela seperti Teach For The Needs (TFTN) dan Teach For Malaysia.

“Sebagai pakatan yang inklusif, kita mengambil kira pandangan pelbagai pihak,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin Abdullah berkata pada pilihan raya umum lalu, parti komponen Pakatan Rakyat masih bertanding menggunakan logo masing-masing, namun tetap mendapat sokongan ramai sehingga memenangi undi popular 52%.

“Sekarang kita sudah banyak membuat kemajuan dalam perkara itu (dengan bakal bertanding menggunakan 1 logo).”

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil memaklumkan setakat pagi tadi, sejumlah 317 cadangan logo telah diterima daripada orang awam, untuk logo rasmi pakatan pembangkang.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *