Isu kaum dan agama kekal relevan bagi BN-Pas untuk hadapi kempen PRU14 kali ini

KUALA LUMPUR: Isu kaum dan agama akan kekal relevan kepada Barisan Nasional (BN) dan Pas terutama dalam meraih sokongan pengundi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Pensyarah Kanan dari Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali, menjangkakan dalam dua isu itu, Pas akan menghadapi masalah untuk menarik pengundi Melayu kerana parti itu akan bersaing dengan Umno jika berlaku pertandingan tiga penjuru (BN, Pas, Pakatan Harapan) kelak.

Dr Mazlan Ali

“Jika berlaku pertandingan tiga penjuru sudah pasti Pas adalah parti yang tercorot dari segi perolehan kerusi yang dimenangi di seluruh negara.

“Ini kerana pertamanya, sentimen anti DAP yang dimainkan akan menjejaskan undi bukan Melayu kepada Umno-BN termasuk Pas.

“Keduanya, jika Pas mahu meraih undi Melayu kerana percaya bahawa isu 1MDB yang dikaitkan dengan pemimpin utama Umno, ia agak sukar kerana sebahagian besar dari orang Melayu masih lagi menyokong Umno.

“Jika adapun pengundi Melayu yang protes terhadap Umno mereka boleh beralih menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Dr Mazlan berkata, strategi anti DAP yang dimainkan oleh Umno bertujuan untuk menarik pengundi Melayu di luar bandar manakala di bandar dan semi bandar, tugas mendapatkan sokongan bukan Melayu diserahkan kepada parti komponen BN.

“Bagi Umno, 80 peratus pengundi Melayu luar bandar menjadi sasaran mereka untuk mengekalkan atau menambahkan jumlah kerusi yang dimenangi.

“Bagaimanapun majoriti pengundi bukan Melayu di kawasan bandar dan semi bandar dijangka akan menyokong Pakatan Harapan. Ini kerana 90 peratus orang Cina tinggal di kawasan bandar dan semi bandar berbanding di kawasan kampung-kampung dan kawasan Felda,” ujarnya.

Menurut Dr Mazlan lagi, sejak beberapa tahun lalu Pas sudah beralih arah dengan menunjukkan semangat nasionalismanya yang hampir menyaingi Umno, sebuah parti bertunjangkan bangsa Melayu.

“Pada PRU12 dan PRU13 Pas pernah menolak sentimen agama dan kaum ketika bersama dalam Pakatan Rakyat dan ini menjadi punca beralihnya sokongan orang bukan Melayu kepada Pas dalam PRU13 melalui Pakatan Rakyat.

“Tetapi kali ini Pas tiada pilihan setelah tidak mahu jalin kerjasama dengan Pakatan Harapan dan mereka terpaksa memainkan isu agama dan kaum dengan menfokuskan penentangan terhadap DAP, suatu strategi yang sama seperti Umno-BN,” tegas beliau.

Ditanya sejauh mana Umno-Pas akan menjalinkan kerjasama politik dalam menghadapi pilihan raya akan datang, Dr Mazlan berpandangan, ia agak rumit untuk berlaku.

“Dalam PRU12 lalu BN yang kehilangan 2/3 majoriti dan 5 negeri pada masa itu telah membuat rundingan dengan Pas di Perak dan Selangor untuk mewujudkan kerajaan campuran dan sebahagian kepimpinan Pas seakan-akan berminat dengan rancangan kerajaan campuran itu.

“Bagaimanapun, rundingan ini gagal disebabkan Mursyidul Am Pas waktu itu, Nik Aziz (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) menolak sebarang rancangan kerjasama dengan Umno.

“Hari ini pula Umno juga berpecah dan dengan wujudnya penentangan Tun Mahathir justeru Umno melihat gabungan Tun Mahathir dengan parti-parti pembangkang yang lain memberi ancaman besar kepada Umno.

“Dengan menjarakkan Pas dengan parti-parti pembangkang lain, peluang Umno adalah lebih baik disebabkan wujudnya pertandingan tiga penjuru.

“Umno sedar kerjasama politik secara rasmi dengan Pas agak rumit disebabkan formula pembahagian kerusi yang sedia ada sukar untuk dilaksanakan. Ia mungkin boleh mencetuskan bantahan pemimpin pertengahan dan bahagian dalam isu formula pembahagian kerusi.

“Bagi Umno, pertandingan tiga penjuru itu sudah dikira bagus dan efektif kerana ia boleh memecahkan undi parti-parti pembangkang. Tambahan pula di pihak Pas, kerjasama politik rasmi dengan Umno juga bukan suatu yang mudah,” kata Dr Mazlan.

Beliau menegaskan jika sekiranya kerjasama politik antara Umno-Pas berlaku, ujarnya lagi, sudah pasti Pas akan berpecah sekali lagi.

“Ini kerana separuh daripada ahli Pas anti Umno terutama di negeri pantai barat dan di selatan Semenanjung berbanding ramai ahli Pas yang menyokong kerjasama dengan Umno di negeri pantai timur,” ujarnya.

Justeru Dr Mazlan berkata, cara terbaik bagi Umno tidak perlu mengadakan kerjasama politik dengan Pas sebaliknya cukup sekadar untuk memastikan tiga penjuru berlaku.

“Inilah stategi politik Umno yang paling berkesan dalam sistem demokrasi berpolitik,” katanya lagi.

Mengulas sekiranya Pas bersendirian dan tidak menyertai Pakatan Harapan adakah ia akan membantu Pas meraih sokongan pengundi dalam PRU14 akan datang dengan memainkan sentimen agama dan kaum semata-mata?

“Pas akan kekalkan keabsahan untuk menubuhkan negara Islam. Pas tidak akan sesekali berkompromi soal pelaksanaan hudud dan menambah baik Akta 355 melalui RUU 355.

“DAP tidak dianggap berminat untuk menerima sebuah negara Islam dan RUU355 yang diperdebatkan, malah AMANAH pula dianggap sebagai parti pengkhianat kepada Pas.

“Pilihan terbaik bagi Pas berada dalam blok ketiga (Gagasan Sejahtera) sebagaimana kenyataan pimpinan Pas sebelum ini untuk mewujudkan blok ketiga yang dijangkakan akan dapat mengekalkan prestasi Pas atau lebih baik daripada pencapaian dalam PRU13 lalu,” ujar beliau.

Bagaimanapun Dr Mazlan kurang berkeyakinan kejayaan blok ketiga ciptaan Pas ini bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Berjasa dan dijangka beberapa NGO lain yang menyokong blok ketiga ini.

Ini jelas dalam muktamar Pas di Alor Setar baru-baru ini hanya PKR, Perkasa antara parti dan NGO yang dijemput ke muktamar parti itu.

“Ikatan setahu saya parti yang tiada penyokong dan kemampuannya lebih kepada gerakan NGO bukan parti politik. Ia tidak berupaya menunjukkan perkembangan sebagaimana struktur AMANAH dan Bersatu.

“Saya tidak nampak apa tujuan Ikatan dan hanya menumpang Pas dan Perkasa pula hampir 90 peratus keahliannya adalah ahli kepada Umno – tidak semestinya ahli Perkasa akan menyokong Pas dalam blok ketiga itu.

“Saya melihat hari ini dalam PRU-14 ke arah pertandingan tiga penjuru sesuatu yang pasti.

“Cuma peranan Bersatu yang mungkin boleh membantu Pakatan Harapan sekiranya dapat menarik 9%-13% pengundi Melayu.

“Ia sebagai tambahan kepada beberapa negeri seperti Kedah dan Terengganu kemungkinan prestasi Pakatan Harapan lebih baik daripada prestasi Pakatan Rakyat sebelum ini.

“Undi bukan Melayu akan pergi kepada DAP, PKR dan AMANAH.

“Sekiranya AMANAH bertanding di kawasan bandar undi orang Cina adalah fixed deposit untuk AMANAH.

“Bersatu mungkin tidak dapat undi Cina tetapi dengan bergabung dalam Pakatan Harapan, Bersatu akan dapat undi Cina tetapi yang tidak dapat undi Cina adalah Pas sebagaimana yang pernah berlaku dalam salah satu peti undi ketika di PRK Sungai Besar dulu.

“Kedudukan Pas hari ini ibarat ‘besi panas’ orang Cina tidak lagi mempercayai Pas,” ujar Dr Mazlan yang juga penganalisa semasa Rancangan Analisis Tv Astro Awani.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *