Sekolah agama dan tahfiz di Malaysia lebih bersifat ‘insular’, tidak mengasihi

Minggu lepas, kematian adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi mengejutkan satu negara. Ia bukanlah kes pertama mengaitkan sekolah agama, tetapi penderitaan yang dialami Thaqif amatlah memilukan.

Kehidupannya yang singkat tetapi penuh duka (hilang kedua-dua kaki sebelum meninggal) perlu dijadikan iktibar untuk masa hadapan. Kritikan keras terhadap sekolah agama dan tahfiz cukup lantang didengar selepas itu. Ada yang mahu sekolah sebegini ditutup terus.

Saya faham pendapat mereka tetapi tidak begitu setuju. Pada saya, apa yang harus berlaku ialah peningkatan mutu pembelajan sekolah agama.

Apabila mutu pembelajaran meningkat, maka tahap pemikiran pelajar dan tenaga pengajar akan turut meningkat dan sekolah ini akan menjadi medan tamadun yang tinggi. Orang seperti pembantu warden yang dituduh mendera Thaqif tidak akan dapat berfungsi dalam situasi begitu.

Jika kita ingin merumuskan apa yang menjadi punca utama masalah di sekolah agama dan tahfiz sekarang, istilah paling sesuai dalam bahasa Inggeris iaitu “insular”. Ia kerap diterjemah sebagai “sempit”, tetapi maksudnya lebih luas.

“Insular” adalah sifat yang hanya memandang kepada diri dan puak sendiri sahaja. Orang yang bersifat begini tidak akan mempedulikan pendapat orang lain.

Lawan kepada sifat ini ialah pemurah, mengasihani dan memberi rahmat kepada segenap lapisan manusia.

Bagaimana kita boleh menghilangkan sifat “insular”? Eloklah kalau kita bermula dengan melihat pengalaman orang lain.

Adakah murid sekolah agama dapat melihat manusia dengan budaya dan agama lain? Jika tidak, bagaimana mereka dan juga pentadbir sekolah mahu meluaskan pemandangan?

Apabila kita mengenali masyarakat sejagat dan lebih penting lagi, menyedari kita semua manusia yang meniti jalan kehidupan yang sama, ia akan menimbulkan suasana aman damai. Maka kuranglah sifat agresif.

Pemikiran kritikal

Satu lagi perkara yang amat penting dalam memberi nafas baru kepada sekolah agama ialah pemikiran kritikal. Para pembaca mungkin tertanya, apakah kaitan pemikiran kritikal dengan sifat agresif?

Pemikiran kritikal boleh membuka minda kita. Lazimnya, sifat agressif datang apabila kita terlalu taksub dengan pegangan kita. Apabila kita berfikiran kritikal, kita akan dapat melihat yang semua kebenaran adalah menurut pandangan individu.

Jika kita memahami pandangan individu itu, kita akan dapat memahami pegangannya dan mengurangkan sifat “insular”.

Bagaimana kita boleh berfikiran kritikal dalam pengalaman beragama? Pertama, kita mesti memahami proses penghadaman kitab suci daripada teks (nass) kepada interpretasi (fihm).

Adakah murid sekolah agama dididik guru yang memberitahu mereka yang semua doktrin yang mereka terima adalah hasil pemikiran manusia?
Jika tidak, dan mereka taksub kepada doktrin-doktrin tersebut, maka akan lebih teballah sifat “insular” mereka.

Kedua, kita mesti meminta supaya murid memikirkan dengan sendiri tentang mengapa mereka mempercayai kepada kitab suci. Sebagai seorang yang melalui proses pembelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan juga Menengah (KBSR and KBSM), saya sendiri melihat yang pemikiran tentang kitab suci amatlah nipis.

Mendalami agama

Kami tidak diberitahu mengapa kami mempercayai Al-Quran atau, lebih asas lagi daripada itu, apa itu kitab suci! Saya hanya memahami konsep ini melalui pembacaan luar setelah menjangkau usia remaja.

Nasib saya baik, saya telah mengenali ustaz yang amat terbuka dalam pemikirannya, yang menerangkan kepada saya konsep kitab suci dan mengapa orang Islam beriman kepada Al-Quran.

Walaupun pemikiran saya berubah kepada sebab lain, saya amat bersyukur kerana dapat bertemu ustaz saya dulu kerana dia memberi saya stimulasi fikiran.

Selain daripada kitab suci, umat Islam juga bergantung kepada “turath” (warisan penulisan termasukah hadis, sirah, pendapat ulama dan sebagainya).
Di sekolah agama dan tahfiz, mereka tidak diajar tentang implikasi ikhtilaf (perbezaan pendapat) yang wujud dalam turath walaupun mereka diberitahu tentang pelbagai pendapat itu sendiri.

Kenapa implikasi ikhtilaf itu penting? Kerana ia dapat memberikan mesej yang sebenar tentang turath – yang ia hanyalah pendapat dan bukan semestinya kebenaran, jauh sekali kebenaran mutlak.

Dengan ini, murid akan sedar yang manusia itu sentiasa akan ada pertanyaan dan mesti berusaha untuk mencapai keimanan.

Inilah yang dimaksudkan dengan konsep “leap of faith” daripada ahli falsafah Soren Kierkegard.

Adakah sekolah agama dan tahfiz memberi masa untuk mempelajari agama lain juga? Setahu saya, tidak. Mereka lebih kerap “mengkafirkan” agama lain sahaja. Ini budaya yang tidak sihat.

Kita perlu memahami yang agama itu satu bidang pemikiran yang amat abstrak. Dalam sesuatu tradisi agama, terdapat kepelbagaian pemikiran yang amat luas. Bahasa yang digunakan untuk menyampaikan konsep metafizika sendiri amat mendalam.

Jadi tidak wajarlah kita mengkafirkan sesiapa sahaja yang bukan Islam. Murid perlu diajar untuk cuba memahami agama lain dan tidak menghukum mereka sahaja.

Apa yang berlaku kepada adik Thaqif bukanlah unsur terpencil tetapi berlaku kerana budaya sekolah agama dan tahfiz bukanlah tahap budaya yang tinggi buat masa sekarang.

Dengan memperkenalkan sikap yang lebih muhibbah dan pemikiran yang lebih tinggi, kita boleh membawa perubahan dan meningkat ketamadunan kepada sekolah aliran ini.

>> Komentar bebas Farouk A. Peru. Tersiar kali pertama di FMT I 3 Mei 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *