AMANAH Perak akan letak calon ulamak, profesional pada PRU14 kata Nizar Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak akan memastikan calon-calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mewakili parti itu terdiri daripada kalangan ulama, wanita, profesional dan orang bukan Islam.

Menurut timbalan pengerusinya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, AMANAH Perak akan akan menyiapkan calon-calon tersebut sesuai dengan kehendak rakyat.

“Persediaan menyiapkan calon-calon yang mampu berkhidmat untuk rakyat dan beramanah adalah aset penting semua parti dalam Pakatan Harapan bagi berdepan dengan calon-calon daripada Barisan Nasional (BN) dan sekutunya dengan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata, undi rakyat pada PRU14 adalah isyarat jelas mengenai apa yang mereka mahukan daripada sebuah kerjaaan.

Justeru, beliau berkata, pemilihan calon yang berwibawa daripada pelbagai latar belakang adalah amat penting.

“Undi rakyat pada PRU14 nanti adalah isyarat yang jelas apa yang dimahukan oleh rakyat dan pentadbiran kerajaan yang bakal dibentuk terutamanya di peringkat negeri adalah kerajaan negeri yang membela dan cakna kepada bebanan yang telah rakyak tanggung selama ini,” katanya.

Nizar yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak turut menegaskan, AMANAH Perak bertekad untuk memastikan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan meletakkan agenda rakyat sebagai perkara utama dan bukannya meletakkan cita-cita peribadi sebagai menggalas kepercayaan rakyat nanti.

“AMANAH Perak yakin semua parti di dalam Pakatan Harapan akan menyediakan calon-calon yang berwibawa dan berintegriti bagi dikemukakan untuk rakyat membuat pilihan pada PRU14 yang semakin hampir,” katanya yang juga Adun Changkat Jering.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *